Bahang Futsal AFF 2016

Bahang Futsal AFF 2016

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Pasukan Kebangsaan Futsal Brunei Darussalam kini giat berlatih termasuk mengadakan perlawanan pemanasan badan sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Futsal AFF 2016 penghujung Oktober dan awal November ini.

Petang ini mereka telah turun mengadakan perlawanan menentang pemenang pingat gangsa Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016 dan juara Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2016, Arbisyam FC di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Pasukan yang mendapat khidmat ketua jurulatih dari Turki, Mehmet Fatih Kale itu sudah mula melalui sesi latihan intensif sejak pertengahan Ogos 2016 yang lalu dengan dua sesi latihan, tiga jam setiap hari kecuali hari Ahad.

Skuad futsal kebangsaan (hijau), jurulatih serta pegawai pasukan (biru) bersama Arbisyam FC (hitam kuning).
Skuad futsal kebangsaan (hijau), jurulatih serta pegawai pasukan (biru) bersama Arbisyam FC (hitam kuning).

Kejohanan Futsal AFF 2016 merupakan edisi ke-13 kejohanan yang akan berlangsung di Thailand dari 31 Oktober hingga 6 November 2016 dan Brunei Darussalam akan bersaing dalam Kumpulan A bersama Thailand, Vietnam dan Timor Leste.

Kumpulan B pula menempatkan lima pasukan iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Myanmar dan Laos.