Bahang Piala AFC

Bahang Piala AFC

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) – Peluang Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melangkah ke separuh akhir Piala AFC 2015 lebih seimbang selepas diundi bertemu pasukan South China berbanding Pahang FA yang bakal berdepan ujian getir wakil Tajikistan, FC Istiklol.

Dalam undian perlawanan suku akhir, di sini hari ini, JDT akan bertemu pasukan dari Hong Kong itu pada 25 Ogos ini di Stadium Tan Sri Datuk Haji Yunos, Johor Baharu. Pahang pula berkunjung ke Stadium Republican Central, Dushanbe pada 26 Ogos pada untuk aksi pertama.

Perlawanan suku akhir kedua pada 15 Sept pula, JDT akan bertemu South China di Stadium Mongkok, Hong Kong sementara Pahang menerima kunjungan FC Istiklol pada 16 September di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Setiausaha Kehormat JDT, Mohd Fahmy Yahya ketika ditemui, berkata undian itu dilihat seimbang namun tidak menjangkakan peluang JDT dikatakan lebih mudah.

“Undian semua seimbang tapi bagi saya apa yang penting, kita bukan sahaja boleh bermain dengan baik dalam negeri tetapi juga di peringkat global,” katanya.

Timbalan Ketua Setiausaha AFC Datuk Windsor John ketika membuat undian perlawanan kalah mati Piala AFC 2015 dan perlawanan kalah mati Liga Juara AFC 2015 di Kuala Lumpur semalam. – Bernama
Timbalan Ketua Setiausaha AFC Datuk Windsor John ketika membuat undian perlawanan kalah mati Piala AFC 2015 dan perlawanan kalah mati Liga Juara AFC 2015 di Kuala Lumpur semalam. – Bernama

Sementara itu, ketua jurulatih South China, Mior Casemiro berkata biarpun JDT dilihat sebagai pencabar yang mantap namun beliau yakin anak didiknya boleh melangkah ke peringkat separuh akhir. Katanya perlawanan pertama adalah sangat penting untuk pasukannya mencapai sasaran seterusnya.

Dalam perlawanan lepas, JDT menundukkan pasukan dari Myanmar, Ayeyawady United 5-0 manakala South China menewaskan wakil Syria, Al-Wahda menerusi penentuan penalti 4-2 selepas terikat 1-1 hingga tamat masa perlawanan.

Sementara itu, pengurus pasukan Pahang, Fahrizal Hasan mengakui undian bersama pasukan dari Tajikistan itu agak kompetitif dan ia boleh menjadi kayu pengukur tahap kualiti pasukannya.

Katanya, pertemuan dengan FC Istiklol dianggap sebagai ujian sebenar dan penting bagi Pahang untuk mara ke saingan seterusnya untuk membuktikan kemantapan skuad Tok Gajah itu.

“Untuk sampai ke suku akhir merupakan satu sejarah buat Pahang tapi jika berjaya ke saingan separuh akir, itu bakal menjadi sejarah yang lebih bermakna,” katanya.

Pahang dianugerahkan kemenangan percuma dan layak ke peringkat suku akhir Piala AFC berdasarkan Peraturan Piala AFC dalam Artikel 41 yang menyebut tentang visa pasukan pelawat.

AFC bersetuju memberikan Pahang kemenangan percuma dengan keputusan 3-0 ke atas Persipura Jayapura ekoran pertemuan kedua-dua pasukan yang sepatutnya berlangsung pada 26 Mei lepas terpaksa dibatalkan apabila tiga pemain import Pahang gagal diberikan visa oleh kerajaan Indonesia.

Skuad Pahang akhirnya pulang kembali ke Malaysia pada keesokkan harinya selepas menunggu sehingga 10 jam di lapangan terbang tanpa sebarang bantuan dari Persatuan Sepak bola Seluruh Indonesia (PSSI).

Dalam perkembangan lain, dalam undian Liga Juara-Juara AFC 2015, pasukan Al-Hilal dari Arab Saudi akan bertemu Lekhwiya (Qatar), Naft Tehran (Iran) menentang Al-Ahli (Emeriyah Arab Bersatu), Kashiwa Reysol (Jepun) bertemu Guangzhou Evergrande (China) dan Jeonbuk Hyundai Motors dari Korea Selatan bertemu Gamba Osaka dari Jepun.

ARTIKEL YANG SAMA