Bahang Piala Dunia 2018

Bahang Piala Dunia 2018

SAINT PETERSBURG, Rusia, 24 Julai – Undian kelayakan Piala Dunia 2018 akan berlangsung di Konstantin Palace di Saint Petersburg Sabtu ini dengan 141 negara daripada lima Konfederasi menunggu untuk mengetahui nasib mereka.

Di sini, AFP Sports membawa pembaca bagaimana 32 negara yang akan beraksi pada peringkat akhir di Rusia ditentukan dalam tempoh tiga tahun.

Daripada 208 negara yang layak dalam FIFA, 183 masih boleh melayakkan diri dan 141 lagi akan terlibat dalam undian Sabtu ini dengan pengecualian untuk Konfederasi Asia memandangkan proses kelayakan mereka telah pun bermula. Rusia adalah satu-satunya pasukan yang layak atas tiket tuan rumah.

Daripada semua jumlah itu, enam undian akan dijalankan. Setiap satu untuk Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Afrika (CAF), Amerika Utara dan Tengah (CONCACAF), Amerika Selatan (CONMEBOL) dan Konfederasi Oceania (OFC) dengan undian tambahan bagi menentukan dua pasangan konfederasi untuk dua play-off.

Rusia akan disertai 13 pasukan Eropah, lima negara-negara Afrika, empat daripada Konfederasi Asia, empat negara Amerika Selatan dan tiga dari Amerika Utara dan Tengah.

Setiausaha Agung FIFA Jerome Valcke berjabat tangan dengan salah seorang hadirin selepas sidang akhbar menjelang undian kelayakan Piala Dunia Rusia 2018 di St. Petersburg, petang tadi. - Reuters
Setiausaha Agung FIFA Jerome Valcke berjabat tangan dengan salah seorang hadirin selepas sidang akhbar menjelang undian kelayakan Piala Dunia Rusia 2018 di St. Petersburg, petang tadi. – Reuters

Baki dua tempat akan diisi oleh dua play-off antara pasukan terbaik Oceania dan pasukan kelima terbaik dari Asia dan Amerika Selatan dan pasukan keempat dari CONCACAF.

Persediaan untuk Piala Dunia Rusia Sabtu ini dilangsungkan ketika badan dunia bola sepak FIFA terus dicemari skandal rasuah.

Presiden FIFA Sepp Blatter, 79, awal minggu ini mengesahkan beliau akan meletak jawatan selepas 17 tahun mengepalai badan itu apabila presiden baru dipilih pada kongres elektif luar biasa 26 Februari tahun depan.

Blatter telah dihujani dengan dolar palsu oleh seorang pelawak pada sidang akhbar Isnin lalu semasa menggariskan pembaharuan badan itu termasuk had penggal bagi pemimpin, pemeriksaan latar belakang lebih tegas terhadap ahli jawatankuasa eksekutif dan penerbitan gaji pegawai tertinggi.

Keputusan Blatter untuk meletak jawatan dibuat hanya beberapa hari selepas memenangi penggal kelima sebagai presiden Jun lalu selepas dakwaan rasuah terhadap tujuh pegawai FIFA difailkan di Amerika Syarikat. – AFP