Baharui polisi melalui telefon

Baharui polisi melalui telefon

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Dalam usaha meningkatkan perkhidmatan pusat panggilannya, Takaful Brunei Am (TBA) telah memperkenalkan perkhidmatan pembaharuan polisi-polisi Takaful Permotoran melalui pusat panggilan 24 jam.

Pengenalan ini merupakan tambahan kepada pembaharuan perlindungan Takaful Perumahan melalui pusat panggilan berkenaan yang telah diperkenalkan awal tahun ini.

Penolong Pengurus Besar TBA, Haji Awang Mohammad Rafie bin Haji Damit semasa sidang media di Ibu Pejabat TBA, Beribi hari ini menjelaskan, perkhidmatan pembaharuan Takaful Permotoran baru ini diperkenalkan untuk memperkemaskan aliran kerja bagi kecekapan yang lebih baik dan ia akan mengurangkan masa menunggu di kaunter-kaunter.

Proses adalah sama seperti perkhidmatan pembaharuan perlindungan Takaful Perumahan dan memperoleh polisi Takaful Musafir (pengembaraan) yang baru.

Menurut beliau, dengan perkhidmatan ini, mereka boleh memproses pembaharuan polisi Takaful pelanggan dengan lebih cepat tanpa perlu beratur di kaunter Pembayaran boleh dibuat secara tunai atau kad debit/kredit, dengan pelanggan yang ingin membayar menggunakan kad, TBA akan menghantar salinan Sijil Takaful mereka yang telah diperbaharui dan Sijil Takaful asal akan dihantar menerusi pos ke alamat kediaman mereka.

Haji Awang Mohammad Rafie dan Nurul Khairiyah (kanan) semasa sidang media kelmarin.
Haji Awang Mohammad Rafie dan Nurul Khairiyah (kanan) semasa sidang media kelmarin.

Sementara itu, bagi pelanggan yang ingin membayar secara tunai, mereka diminta untuk mengambil polisi yang telah diperbaharui dan membuat pembayaran di tempat-tempat pengambilan yang telah ditetapkan.

Selain daripada Ibu Pejabat TBA di Beribi, tempat-tempat pengambilan telah diperluaskan ke cawangan Delima dan Kuala Belait.

Menurut kenyataan TBA, pusat panggilan telah menjadi saluran penting dalam pengalaman perkhidmatan pelanggan untuk TBA.

Perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh TBA menerusi pusat panggilan mereka termasuk menjawab pertanyaan mengenai TBA, melaporkan mengenai kemalangan dan bantuan menunda kereta di tepi jalan dengan hanya menghubungi talian 2244000.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari www.takafulbrunei.com.bn.