Baharui road tax perlu tempahan

Baharui road tax perlu tempahan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Dis – Mulai 18 Januari 2016, orang ramai yang ingin membuat permohonan membaharui Lesen Kenderaan Persendirian (sebelum ini digelar road tax) di Ibu Pejabat, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Jalan Gadong, Beribi hendaklah membuat tempahan dahulu bagi mendapatkan slot waktu/masa yang akan ditetapkan untuk berurusan di kaunter-kaunter membaharui lesen di JPD.

Pemangku Pengarah JPD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud berkata, pada tarikh yang sama, membaharui Lesen Kenderaan Persendirian di kaunter secara ‘walk-in’ akan diberhentikan.

“Walau bagaimanapun permohonan membaharui Lesen Kenderaan bagi warga emas, orang berkeperluan khas, kenderaan kerajaan dan perkhidmatan mengganti lesen kenderaan kabur/rosak, tidak perlu membuat tempahan,” jelasnya lagi.

Langkah ini, katanya, bertujuan bagi memastikan operasi kaunter membaharui Lesen Kenderaan Persendirian dikendalikan secara sistematik dan ter-atur.

“Serta untuk memberi keselesaan kepada orang ramai dengan mengurangkan masa menunggu, mengelakkan daripada timbulnya situasi ‘nombor habis’ dan lebih utama bagi orang ramai membaharui Lesen Kenderaan dengan lebih terancang dari segi tarikh dan masa,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JPD di sini, hari ini.

Pemangku Pengarah JPD ketika menerangkan kepada media mengenai tempahan awal perlu dibuat bermula 18 Januari tahun hadapan.
Pemangku Pengarah JPD ketika menerangkan kepada media mengenai tempahan awal perlu dibuat bermula 18 Januari tahun hadapan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai untuk membuat tempahan awal dengan menghubungi talian 7292016 atau berurusan terus ke Kaunter Penyambut Tetamu di Ibu Pejabat JPD, Jalan Gadong, Beribi.

Waktu membuat tempahan ialah dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 1:45 petang hingga 4:15 petang setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu (kecuali hari-hari kelepasan awam).

Beliau seterusnya menjelaskan, semasa membuat tempahan, orang ramai diperlukan untuk memberikan maklumat yang betul seperti bilangan pendaftaran kenderaan; nama pemilik kenderaan dan nombor telefon; nama pihak yang menguruskan dan nombor telefon; tarikh tempahan dan masa tempahan.

“JPD ingin memaklumkan orang ramai bahawa hanya dua permohonan tempahan membaharui Lesen Kenderaan sahaja dibenarkan. Orang ramai yang menempah pada hari dan masa yang berkenaan disaran untuk hadir dalam tempoh 30 minit sebelum masa tempahan dan jika lewat hadir pada masa yang ditetapkan maka dikehendaki membuat tempahan semula,” ujarnya lagi.

Setelah tempahan dibuat, apa yang perlu dibuat apabila ke JPD semasa hari tempahan adalah mereka hendaklah terus melapor ke Kaunter Penyambut Tetamu (Lorong A) dan berikan maklumat nombor rujukan tempahan kepada kakitangan penyambut tetamu (Lorong A) untuk mendapatkan nombor giliran.

Kemudiannya, setelah nombor giliran diperolehi mereka bolehlah terus ke ruang kaunter perkhidmatan membaharui Lesen Kenderaan.

Namun begitu, orang ramai juga dinasihatkan untuk menyediakan dan menyertakan dokumen-dokumen seperti Buku Pendaftaran Kenderaan atau ‘blue card’ asal; insurans yang dikemas kini dan Sijil Pemeriksaan bagi kenderaan tujuh tahun ke atas, bagi melancarkan proses membaharui. Bagi pemeriksaan kenderaan tujuh tahun ke atas pula, dinasihatkan untuk membuat tempahan berasingan di talian 2448008 atau 2448009 dan hendaklah dilaksanakan lebih awal sebelum membuat tempahan membaharui Lesen Kenderaan bagi melengkapkan dokumen yang diperlukan.

“JPD menasihatkan orang ramai untuk lebih bijak berurusan dan lebih terancang terutama apabila berurusan membaharui Lesen Kenderaan yang melibatkan perkhidmatan-perkhidmatan lain misalnya tukar milik kenderaan, menukar bilangan pendaftaran kenderaan dan sebagainya untuk menguruskannya lebih awal,” tekan beliau.

JPD akan sentiasa meneliti dan terus berusaha menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan yang teratur dan terarah demi memudah cara urusan orang ramai dengan jabatan tersebut dan memohon kerjasama serta sokongan berterusan orang ramai dalam perkara ini.

Selain itu, JPD juga menyediakan perkhidmatan dalam talian melalui portal e-Darussalam dalam e-services JPD bagi memudahkan lagi orang ramai berurusan dan menjimatkan masa.

“JPD juga akan terus merancang pelbagai cara untuk melicinkan lagi perkhidmatannya kepada orang ramai dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang memudahkan orang ramai berurusan,” katanya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA