Baharui segera lesen kereta lebih 7 tahun

Baharui segera lesen kereta lebih 7 tahun

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 5 Jan – Orang ramai disarankan supaya dapat membuat pembaharuan lesen kenderaan yang berumur tujuh tahun ke atas lebih awal sebelum tarikh mansuh, bagi mengelakkan daripada kesesakan dan terpaksa berbaris panjang.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Dr. Haji Supry bin Haji Ladi membuat saranan itu semasa ditemui Media Permata hari ini, berikutan berlakunya kesesakan di Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) cawangan Belait kelmarin, yang merupakan hari pertama dibuka setelah cuti awam beberapa hari menjelang Tahun Baharu Masihi 2016 baru-baru ini.

Menurutnya, untuk mengatasi masalah berikutan kesesakan pengunjung yang luar biasa itu, JPD cawangan Belait telah menggunakan perkhidmatan ‘Pay and Collect.’

Ini adalah bagi membantu pemohon yang tidak sempat mendapatkan nombor kerana telah habis diedarkan, serta memandangkan barisan pengunjung yang masih panjang walaupun waktu kaunter sudah sepatutnya ditutup.

“‘Pay and Collect’ berfungsi secara pemohon membuat pembayaran kemudian resit dikeluarkan, seterusnya pemeriksaan kenderaan dilakukan kemudian, mereka kembali pada hari berikutnya untuk mendapatkan cukai jalan yang sudah siap diperbaharui,” katanya.

Gambar fail Dr. Haji Supry.
Gambar fail Dr. Haji Supry.
Sebahagian daripada orang ramai yang membuat permohonan pembaharuan lesen kenderaan di Jabatan Pengangkutan Darat cawangan Belait, kelmarin.
Sebahagian daripada orang ramai yang membuat permohonan pembaharuan lesen kenderaan di Jabatan Pengangkutan Darat cawangan Belait, kelmarin.

Ditanya mengenai permohonan secara tempahan (booking), beliau menjelaskan, jumlah permohonan di JPD cawangan Belait belum begitu tinggi seperti di Bandar Seri Begawan, untuk dimulakan perkhidmatan tersebut pada masa ini.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan bahawa ada pengunjung yang disuruh pulang kelmarin, sepertimana yang tersebar melalui media sosial WhatsApp, sambil menambah, “kami bukannya cuba untuk bersikap defensif tetapi telah mendapatkan cerita sebenar daripada kedua-dua pihak.”

Bagaimanapun, tambah beliau, JPD bersedia menerima segala teguran daripada orang ramai, demi meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam kalangan pegawai dan kakitangan jabatan dari semasa ke semasa.

Menurut Dr. Haji Supry lagi, JPD lazimnya menerima pengunjung yang terlalu ramai pada tiga musim, iaitu bulan Disember, Februari dan menjelangnya Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sehubungan itu, JPD menyatakan harapan supaya orang ramai akan lebih memahami kesesakan berlaku pada musim-musim berkenaan dan bertindak membuat pembaharuan lesen kenderaan lebih awal.

Pemilik kenderaan berumur tujuh tahun ke atas dimestikan melalui proses pemeriksaan JPD sebelum dikeluarkan cukai jalan baru setelah yang lama mansuh setiap tahun, pemeriksaan ke atas kenderaan adalah termasuk visual, casis, lampu brek, nombor enjin, lampu isyarat, pad brek, tayar, kaca, ‘body work’ (luaran dan dalaman) dan lain-lain.

Sementara itu, Penyelia Pejabat JPD cawangan Kuala Belait, Dayang Haryati binti Haji Abdul Razak memberitahu, lebih 70 orang pelanggan terpaksa menggunakan perkhidmatan ‘Pay and Collect’ kelmarin dan mereka menggunakan inisiatif itu untuk tidak menghampakan orang ramai, walaupun ada dalam kalangan kakitangan mereka terpaksa pulang sekitar jam 5:00 petang.

Menurutnya lagi, nombor yang dikeluarkan lebih 100 bagi sesi pagi dan petang, dan jumlah nombor yang dikeluarkan adalah dianggarkan bagi penyesuaian sehingga waktu kaunter ditutup.

“‘Pay and Collect’ bermakna jabatan masih boleh menerima bayaran pelanggan, tetapi terpaksa mengambil cukai jalan mereka yang telah diperbaharui keesokan hari.

“Ini dilakukan jika berlakunya pelanggan yang terlalu ramai seperti apa yang berlaku kelmarin,” katanya, sambil menambah, pada hari-hari biasa JPD cawangan Belait hanya mengeluarkan nombor sehingga 50 ke 60 sahaja.

“Kaunter kami mula beroperasi pukul 8 pagi, tetapi orang ramai sudah berbaris di luar pejabat seawal pukul 7 pagi, dan pada musim-musim tertentu, barisan panjang memang berlaku kerana masing-masing mahu mendapatkan nombor,” katanya lagi.

Waktu beroperasi JPD adalah pada hari-hari bekerja kecuali hari kelepasan awam bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 1:30 hingga 4:15 petang.

ARTIKEL YANG SAMA