Bahasa etnik tempatan perlu dipulihara

Bahasa etnik tempatan perlu dipulihara

KUCHING, 7 Sept – Semua kumpulan etnik di Sarawak digalakkan untuk mengamalkan, memulihara, menghidupkan dan memperkaya bahasa masing-masing untuk memastikan ia tidak lenyap ditelan zaman.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengambil perhatian bahawa terdapat sesetengah bahasa di dunia telah lenyap dan ia kini hanya boleh didapati dalam bentuk digital di beberapa muzium atau kemudahan penyelidikan.

“Kita tidak mahu itu berlaku di sini, kita di Sarawak percaya akan kesepaduan dalam kepelbagaian,” katanya pada pelancaran kamus “Comprehensive Iban-English Dictionary” setebal 1,890 muka surat di sebuah hotel di sini, hari ini.

“Saya selalu mengingatkan penduduk di Semenanjung, bahawa apabila anda bercakap tentang Bumiputera, di Semenanjung Malaysia 99 peratus ialah Melayu Islam tetapi bukan semua Bumiputera di Sarawak atau Sabah ialah Melayu atau Islam, malah kebanyakannya ialah Kristian, dan perlu beri pengiktirafan kepada mereka, jangan kategorikan mereka sebagai ‘lain-lain’ etnik,” katanya.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (kiri) melancarkan Kamus Bahasa Iban-Inggeris kelmarin. Turut hadir timbalannya Datuk Seri Douglas Unggah (dua, kanan) dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu (kanan). – Bernama
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (kiri) melancarkan Kamus Bahasa Iban-Inggeris kelmarin. Turut hadir timbalannya Datuk Seri Douglas Unggah (dua, kanan) dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu (kanan). – Bernama

Beliau berkata, tidak seperti pada zaman penjajahan, apabila bahasa pelbagai kumpulan etnik mungkin dilayan atas ‘rasa ingin tahu’, bahasa-bahasa itu perlu dipelajari dan dipulihara untuk mencerminkan identiti setiap etnik berkenaan.

Kamus itu diterbitkan selepas disunting oleh Dr Robert Menua Saleh, Janang Ensiring dan Jantan Umbat daripada Yayasan Tun Jugah, bersama-sama dengan

Profesor Emeritus Vinson H. Sutlive Jr, yang dipertanggungjawabkan oleh Yayasan. Kebudayaan Dayak untuk menghasilkan kamus itu dua tahun lepas. – Bernama