Bahasa Meirek dihidupkan kembali

Bahasa Meirek dihidupkan kembali

MIRI, 11 Julai – Dalam usaha memastikan bahasa Meirek, antara bahasa pertuturan tertua di dunia daripada berdepan risiko kepupusan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mengambil langkah melaksanakan satu kajian menyeluruh mengenainya.

Dekan Pengajian Bahasa Unimas Dr Norazuna Norahim berkata kajian bagi memelihara bahasa itu mula dijalankan pada 2014 dan dijangka berakhir pada Ogos ini.

“Projek dua tahun itu berjaya mengumpul dan mendokumentasi 2,500 perkataan setakat ini dengan tujuan menghasilkan kamus pertama bahasa Meirek,”katanya kepada Bernama mengenai projek itu, yang dijalankan dengan dana kerajaan berjumlah RM57,000.

Bagaimanapun, katanya perkataan yang dikumpul itu hanya merujuk kepada senarai kata sahaja dan tidak termasuk bahasa lisan.

Beliau berkata Unimas akan meneruskan lagi kajian bahasa Meirek walaupun selepas tempohnya berakhir Ogos ini bagi memastikan bahasa itu terus dipelihara.

Dr Norazuna berkata pe-nerbitan sesebuah kamus kebiasaannya mengambil masa di antara lima hingga tujuh tahun dan ia memerlukan kerjasama serta komitmen komuniti Meirek berikutan kerumitan bahasa Meirek itu sendiri.

“Kita berharap sekurang-kurangnya kamus pertama itu nanti dapat memberi maklumat tentang bunyi, kategori perkataan dan makna perkataan bahasa Meirek,” katanya.

Selain kamus, beliau berkata satu kaedah juga dirancang untuk mewujudkan ejaan standard yang boleh digunakan bagi pembangunan bahasa Meirek.

Menurutnya dengan adanya ejaan standard yang diperse-tujui komuniti Meirek, mereka boleh menggunakannya untuk menghasilkan bahan bacaan dan bahan pengajaran serta pembelajaran dalam bahasa itu.

Untuk itu, katanya, Unimas menganjurkan sesi pertama bengkel ejaan bahasa Meirek bulan lepas dan sesi kedua akan diadakan tidak lama lagi.

Dr Norazuna berkata dari segi jumlah penutur bahasa Meirek, hasil kajian seorang pensyarah Unimas Bibi Aminah Abdul Ghani mendapati kurang daripada 5,000 anggota komuniti itu boleh bercakap bahasa berkenaan.

Untuk rekod, satu-satunya buku berkaitan bahasa Meirek di negara ini ialah Panduan Bercakap Bahasa Jatti Meirek (Terjemahan Daripada Bahasa Malaysia) yang dicetak dan diterbitkan Persatuan Jatti Meirek Miri (PJMM) pada 2008.

Tidak dapat dipastikan tarikh tepat kaum Meirek mula menjejakkan kaki di Sarawak namun, ada pendapat yang mengatakan ia berlaku kira-kira 200 hingga 300 tahun lepas.

Umum mengetahui bahawa nama Miri berasal daripada perkataan ‘Meirek’.

Pada masa ini, komuniti Meirek dikatakan berjumlah 10,000 orang, sebahagian besarnya tinggal di utara Sarawak dan Brunei. – Bernama