Bahasa pamer kepelbagaian etnik

Bahasa pamer kepelbagaian etnik

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Pusat Sejarah, melalui Pusat Pengkajian Borneo (PenBORNEO), meneruskan usahanya untuk menjadi sebuah pusat rujukan Borneo terunggul, dengan mengadakan siri ketiga Sesi Ceramah @PenBORNEO.

Sesi ceramah yang berlangsung di Pusat Pengkajian Borneo, Anggerek Desa, pada kali ini memfokuskan bahasa sebagai salah satu elemen penting yang dapat mengaitkan pelbagai corak etnik masyarakat yang menghuni Kepulauan Borneo.

Pegawai Sejarah di Pusat Sejarah Brunei selaku Pengerusi Ceramah, Dayang Mardiah binti Haji Ramli berkata, pihaknya melihat pengkajian bahasa itu sebagai mempromosi PenBORNEO bukan hanya sebagai pusat rujukan, tetapi juga untuk menambah bahan rujukan sejarah, kesenian, bahasa yang terdapat di Borneo untuk simpanan.

“Peranan PenBORNEO ini sebagai pusat sumber rujukan dan pengkajian Borneo yang mana kami ingin menambah bahan-bahan termasuk bahan sejarah, kesenian, bahasa yang meliputi bukan saja bahasa di Brunei malah bahasa-bahasa di Kepulauan Borneo,” ujarnya.

Ceramah bertajuk ‘Sejarah Gelaran Awang dan Abang dalam Konteks Brunei dan Sarawak’ dikendalikan oleh Pengarah Pusat Pendidikan Berterusan, Lantikan Bersama Sebagai Penyelidik di Institut Pengajian Asia, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Pengarah Jaringan Pengajian Borneo, Dr Yabit bin Alas.

Dr Yabit (kiri) menyampaikan ceramah mengenai persamaan bahasa di Brunei dan Sarawak.
Dr Yabit (kiri) menyampaikan ceramah mengenai persamaan bahasa di Brunei dan Sarawak.
Dayang Mardiah berkata Sesi Ceramah@PenBorneo adalah untuk kefahaman yang jelas kepada orang ramai tentang kepentingan mempelajari dan membuat kajian terhadap ilmu sejarah.
Dayang Mardiah berkata Sesi Ceramah@PenBorneo adalah untuk kefahaman yang jelas kepada orang ramai tentang kepentingan mempelajari dan membuat kajian terhadap ilmu sejarah.

Kira-kira 60 orang menghadiri ceramah yang diadakan secara tertutup itu, antaranya para pensyarah dan guru yang mengajar sejarah serta para mahasiswa UBD, pegawai dari Jabatan Muzium-muzium Brunei dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ditanya mengenai projek seterusnya bagi PenBORNEO, Dayang Mardiah berkata, Sesi Ceramah@penBORNEO seterusnya akan diadakan pada Ogos dan November yang akan melibatkan penyertaan semua pihak daripada kementerian dan institusi pengajian tinggi lain hingga kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.

Menurut beliau lagi, di samping mempromosikan PenBORNEO sebagai pusat sumber rujukan sejarah, program tersebut juga memberikan kefahaman yang jelas kepada para pegawai kerajaan, mahasiswa dan orang ramai tentang kepentingan untuk mempelajari dan membuat kajian terhadap ilmu sejarah.

Keistimewaan yang terkandung dalam program ceramah itu ialah perkongsian pengalaman dan pengetahuan penceramah yang bersifat informasi serta mudah difahami.

Melalui program ceramah yang bersifat akademik itu juga, beliau berharap akan mencapai objektif program dengan memberikan para peserta kemahiran berfikir dan menganalisis fakta sejarah secara rasional dan membuka minda untuk meminati sejarah.

ARTIKEL YANG SAMA