Bahaya jenayah siber

Bahaya jenayah siber

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Jenayah paling bahaya adalah penyamaran menggunakan alamat IP dan tanpa kita sedari, penjenayah ini telah melakukan kesalahan dengan menyamar sebagai anda.

Menjejaki penjenayah seperti ini adalah sangat mencabar, ujar Pensyarah Kanan Sekolah Pengkomputeran dan Informatik, Universiti Teknologi Brunei (UTB), Dr. Wida Susanty binti Haji Suhaili ketika membentangkan kertas kerjanya ​dalam Sesi Pembentangan III: Isu dan Kesan dalam Penggunaan Teknologi Maklumat, pada hari kedua Simposium Majlis Ilmu, di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

Menurut beliau, terdapat tiga kumpulan yang dikategorikan dalam penjenayah siber, yang mana ancaman daripada kumpulan berkenaan melalui proses yang sama, namun yang membezakannya adalah niat dan sumber yang mereka perolehi.

Antara kumpulan-kumpulan yang dimaksudkan adalah kumpulan umum iaitu mereka yang mempunyai pengetahuan teknikal yang memberi ancaman untuk kemasyhuran (notoriety); kumpulan sindiket iaitu penjenayah secara berkumpulan, penggodam, kumpulan aktivis, orang dalam yang membuka pintu belakang bagi memudahkan serangan; dan kumpulan berat iaitu mereka yang tergolong seperti pengganas dan yang mengancam keselamatan negara melalui perang siber, lebih teruk lagi bila ia menggugat kestabilan negara dan agama.

Selain itu, cabaran lain yang ditekankan adalah mengenai kesahihan maklumat di mana semakin pesat teknologi maklumat, semakin mudah dan pesat maklumat dikongsi di dunia siber.

Antara yang hadir bagi mendengarkan Simposium Majlis Ilmu 2016 di hari kedua.
Antara yang hadir bagi mendengarkan Simposium Majlis Ilmu 2016 di hari kedua.

Dalam pembentangannya itu, Dr. Wida Susanty juga menyentuh mengenai aplikasi Google, e-mel, WhatsApp, Facebook serta ‘trolling’ yang juga merupakan satu cabaran.

“Sekarang, Facebook atau WhatsApp boleh diistilahkan sebagai berita bergerak. Apa jua berita terkini seperti kemalangan, acara-acara keraian dan keramaian akan mudah dan cepat dimuat turun dan dikongsi untuk tatapan. Ada yang akan ‘like’ berita-berita ini dan ada juga yang akan mengongsikan berita-berita ini.

“Tiada masalah jika ia berita baik tetapi jika ia tidak, seperti yang kita lalui mengenai kecelakaan jalan raya, di mana gambar mangsa turut disebarkan. Ini sepatutnya tidak dikongsikan dan perlu ditapis,” tekannya.

Pencerobohan adalah satu lagi cabaran keselamatan siber, yang menurut beliau, kecuaian pengguna sendiri yang tidak mengemas kini keselamatan alat ICT atau tidak menukar kata laluan seperti yang disarankan bagi mengurangkan pencerobohan atau kurangnya kawalan keselamatan alat dan aplikasi ICT menjadi umpan kepada aktiviti pencerobohan.

Oleh yang demikian, menurut Dr. Wida Susanty, terdapat empat langkah bagi mengatasi dan menangani jenayah siber berkenaan iaitu ramal, cegah, kesan dan bertindak.

“Kita perlu sentiasa berawas dan bersedia bagi apa jua pun. Kita perlu faham dan berwaspada bahawa ancaman pengganas siber agak berbeza dengan aktiviti jenayah Internet biasa seperti mencuri kata laluan perbankan Internet, penyalahgunaan kad kredit atau penipuan perniagaan laman web.

“Ancaman pengganas siber perlu ditangani dengan cara yang berbeza. Kesedaran adalah perlu bagi menangani ancaman siber yang datang dengan pelbagai corak. Kita perlu membasmi, kerana jika ia tidak ditangani boleh menggugat kesejahteraan ummah,” tekan beliau di akhir pembentangannya.

ARTIKEL YANG SAMA