Bahu kiri Syamsul Yusof patah ketika lakonkan babak aksi

Bahu kiri Syamsul Yusof patah ketika lakonkan babak aksi

PETALING JAYA – Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof patah bahu kiri selepas melakukan satu babak aksi ketika penggambaran filem baru lakonannya berjudul Makrifat Cinta.

Syamsul, 32, berkata, kejadian itu berlaku ketika dia melakukan lompatan pada satu babak letupan di lokasi penggambaran di Putrajaya.

“Semalam selepas terjatuh, bahu saya rasa sakit dan kru membawa saya ke klinik berhampiran.

“Pada mulanya pihak klinik memberitahu saya hanya retak sedikit sahaja, tetapi tiba-tiba bahu saya terlalu sakit dan saya pergi ke Pusat Perubatan Prince Court pula untuk buat pemeriksaan lanjut.

“Doktor mengesahkan bahu kiri saya patah dan perlu berehat daripada membuat sebarang kerja berat, mereka mahu saya dirawat di hospital tapi saya berkeras mahu balik,” ujarnya.

Syamsul mengalami patah bahu kiri ketika menjalankan sesi penggambaran.
Syamsul mengalami patah bahu kiri ketika menjalankan sesi penggambaran.

Syamsul berkata, dia kini dalam proses menjalani penggambaran filem cinta terbitan produksi baru Dhananwodd Films yang diarahkan oleh pengarah baru Kamal G.

Filem tersebut turut dibintangi oleh pelakon terkenal Nora Danish, Nabila Huda, Adi Putra dan Putri Balqis.

Sementara itu, Syamsul berkata, dia tidak boleh mengambil cuti rehat yang panjang bagi mengelakkan penggambaran terjejas.

“Saya pun tidak tahu sampai boleh patah tulang kerana sebenarnya babak itu mudah sahaja, mungkin juga saya sudah tua dan tulang pun tidak kuat macam dulu.

“Bagaimanapun, saya tidak akan berehat panjang kerana tidak mahu menjejaskan penggambaran tersebut.

“Nasib baik juga, watak selepas ini memang memerlukan saya memakai penganduh.

Sementara itu, ditanya tentang filem berkenaan, Syamsul mengakui dia menerima tawaran untuk berlakon dalam filem terbitan produksi luar berikutan ia datang tepat pada masanya.

Selain itu, katanya, skrip yang kuat serta para pelakon yang belum pernah bekerjasama turut menarik minatnya untuk terlibat.

“Filem ini merupakan filem cinta pertama saya, sebelum ini memang banyak tawaran tapi saya terpaksa tolak kerana bertentangan dengan jadual kerja saya.

“Tawaran ini datang betul-betul ketika saya sedang berehat sebelum menyambung projek filem Munafik 2 tidak lama lagi,” ujarnya.