Baiduri anjur sambutan Deepavali

Baiduri anjur sambutan Deepavali

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Sempena dengan sambutan Hari Deepavali yang juga dikenali sebagai Pesta Cahaya, Kumpulan Bank Baiduri telah mengadakan Majlis Makan Malam untuk para pelanggan dan rakan kongsinya yang berlangsung di Indera Samudera Grand Hall, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, di sini, malam tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Kaunselor Suruhanjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Ravinder Nath.

Pada majlis tersebut, Ravinder Nath turut berkongsi pengalaman dan menceritakan sejarah mengenai sambutan Hari Deepavali yang telah disambut sejak sekian lama. Beliau juga turut melahirkan penghargaan kepada Bank Baiduri dan juga para tetamu yang hadir.

Acara tersebut dimulakan dengan persembahan tarian klasik yang dipersembahkan oleh Sekolah Akademi Nattiya Baratha, dikuti dengan majlis tradisi menyalakan lilin yang telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof; Ravinder Nath; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ting Eng Hui; Presiden Persatuan Rakan Brunei-India, Pehin Dato Haji Mahdini dan Presiden Persatuan India Bandar Seri Begawan, Dr. Arumugan Sundrapandi.

Pierre Imhof dalam ucapan alu-aluan menggariskan kemajuan yang besar dan pencapaian Kumpulan Bank Baiduri sepanjang tahun antaranya penubuhan sebuah unit baru di bawah Bahagian Perbankan Runcit bagi menampung peningkatan jumlah UMKM (MSMEs).

Pierre Imhof dan Ravinder Nath bersama tetamu lain yang hadir pada acara tersebut.
Pierre Imhof dan Ravinder Nath bersama tetamu lain yang hadir pada acara tersebut.

“Kami menubuhkan Unit Perbankan Perniagaan yang memenuhi keperluan UMKM (MSMEs) dan melengkapi Jabatan Perbankan Korporat Bank. Ini selaras dengan membangunkan sektor swasta Brunei Darussalam,” jelasnya.

Beliau seterusnya berkata, “Kami akan terus melabur dalam perniagaan kami kerana kami percaya masa depan industri kewangan Brunei. Kami juga baru-baru ini telah memindahkan cawangan Tutong dan Kiulap ke premis yang lebih besar dengan pelbagai rangkaian kemudahan dalam usaha untuk yang lebih baik kepada pelanggan kami,” tambahnya.

Bank Baiduri, jelasnya telah mengekalkan tahap liquidity yang tinggi dan asas modal yang kukuh, satu penarafan kredit Standard & Poor.

“Dengan tahap mudah tunai, kami berhasrat untuk meneruskan lebih banyak peluang perniagaan dan membiayai lebih banyak perniagaan, projek dan individu”.

Pierre Imhof juga dalam ucapannya melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada tetamu atas sokongan mereka dan keyakinan yang berterusan selama ini.

Antara tarian yang dipersembahkan pada acara tersebut.
Antara tarian yang dipersembahkan pada acara tersebut.

Sebagai bukti kepada prestasi yang baik, Kumpulan Bank Baiduri terus menerima anugerah perbankan antarabangsa utama. Tahun ini sahaja, Baiduri telah menerima tiga anugerah perbankan utama iaitu Domastic Retail Bank For Brunei 2016 dari Majalah Perbankan dan Kewangan Asia; Best Banking Group for Brunei 2016 dari Majalah Kewangan Dunia dan The World’s Best Emerging Markets Bank in the Asia-Pacific 2016 for Brunei oleh Global Finance.

Mengulas mengenai prospek masa depan Bank Baiduri, Pierre Imhof berkata walaupun persekitaran perniagaan berhadapan dengan cabaran, Bank Baiduri akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan perkhidmatan pelanggan dan meluaskan rangkaian produk.

Sepanjang majlis itu, tetamu dihiburkan dengan pelbagai lagu dan tarian persembahan dari artis-artis tempatan, pelajar sekolah dan kakitangan yang berakhir dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah oleh Pierre Imhof.

Terdahulu majlis menyaksikan penyampaian token penghargaan kepada tetamu kehormat, diikuti dengan penyampaian sumbangan derma kepada Persatuan India Bandar Seri Begawan yang disampaikan oleh Pierre Imhof kepada Presiden Persatuan, Dr. Arumugan Sundrapandi. Kira-kira 500 pelanggan dan rakan daripada masyarakat India tempatan termasuk diplomat asing, pemimpin perniagaan India terkemuka dan profesional yang bekerja di Brunei dan juga pelanggan setia dan rakan kongsi Bank Baiduri hadir pada majlis tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA