Baiduri Masters catat sejarah, seorang lagi lakukan hole-in-one

Baiduri Masters catat sejarah, seorang lagi lakukan hole-in-one

Oleh Fadley Faisal

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Satu fenomena berlaku pada Kejohanan Golf Baiduri Masters 2015 hari ini apabila seorang lagi peserta, Awang Kahar bin Bahar (berbaju merah) berjaya mencatatkan pukulan hole-in-one di lubang No 16 yang menjadikan beliau pemain ketiga berjaya melakukan pukulan itu pada kejohanan yang berlangsung di Kelab Golf Royal Brunei Airlines.

Dengan kejayaan tersebut, beliau telah memenangi hadiah wang tunai $20,000, yang menurutnya akan dikongsinya bersama dengan tiga rakan pemain golf dan juga keluarga.

Awang Kahar, seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Darat, adalah pemain keempat yang berjaya mencatatkan pukulan hole-in-one di Baiduri Masters dalam sejarah tempoh 20 tahun kejohanan itu. Pemain pertama yang pernah melakukannya ialah Elyas Abdullah Tseu dalam tahun 2008.

Ahmad Izzat bin Dato Seri Setia Haji Zaimi dan Ahanapiah bin Haji Md Noor telah mencatatkan dua pukulan pertama hole-in-one pada Baiduri Masters 2015. Ahmad Izzat melakukannya pada Jumaat lalu manakala Ahanapiah melakukannya pada Ahad lalu.

Mereka berdua berpeluang berkongsi hadiah lumayan, kereta Porsche Panamera yang bernilai $175,800, atas kejayaan melakukan pukulan hole-in-one di lubang kedua Par 3 yang menawarkan hadiah.

pg01_150509_b

Mengulas mengenai kejayaannya hari ini, Awang Kahar berkata, ia hanyalah pukulan biasa pada permainan ini, sambil berseronok bersama rakan-rakan.

“Saya terkejut kerana berjaya mencatatkan pukulan hole-in-one,” kata Kahar nampak sungguh gembira.”

Kahar sebelum ini pernah berjaya mencatatkan pukulan hole-in-one dalam permainan biasa di antara rakan-rakannya di Kelab Golf Pantai Mentiri dan ini ialah kali kedua dalam tempoh 10 tahun beliau bermain golf.

Baru-baru ini, Kahar telah memenangi acara keseluruhan di Kota Kinabalu dan telah membina lebih banyak keyakinan daripada kemenangannya hari ini untuk bermain dalam perlawanan akhir akan datang yang akan disertainya di Kuala Lumpur.