Baiduri pertingkat perkhidmatan Perbankan Online

Baiduri pertingkat perkhidmatan Perbankan Online

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Dalam usaha berterusan memberikan lebih kemudahan dan serba guna yang dipertingkat bagi pelanggan perbankan dalam talian, Bank Baiduri telah mendedahkan fasa kedua versi Perbankan Online Baiduri yang dipertingkatkan.

Menurut kenyataan Bank Baiduri, platform perbankan dalam talian yang direka semula ini menggabungkan ciri-ciri menarik yang memperkayakan pengalaman pelanggan dalam talian.

Satu ciri baru adalah pembayaran sewa beli kereta yang kini boleh menunjukkan kemas kini dalam masa sebenar. Bagi pembayaran menerusi aplikasi mudah alih, pelanggan boleh mendapatkan mata bonus di bawah HP Auto Direct Card.

Selain itu, terdapat pilihan untuk membuat pembayaran kepada beberapa penerima pada satu masa, sekali gus memudahkan pelanggan yang mempromosi jumlah pembayaran yang besar.

“Kami telah mereka sistem untuk menawarkan lebih kemudahan kepada pelanggan dan untuk meningkatkan pengalaman perbankan online mereka. Kini, pelanggan yang ingin membayar bil kad-kad kredit mereka dengan arahan tetap boleh melakukannya dengan pendaftaran dalam talian.

“Pada masa yang sama, kami telah mempertingkatkan keselamatan untuk memberikan lebih keyakinan kepada pelanggan apabila mereka membuat transaksi dengan Perbankan Online Baiduri,” Timbalan Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Operasi, Pempelbagaian dan Pembangunan Strategi, Andrew Young dipetik sebagai berkata.

Bank Baiduri pertama kali memperkenalkan perkhidmatan perbankan dalam taliannya pada 2001 dan dikemas kini kepada versi baru pada 2009.

Menurut kenyataan itu, perbankan dalam talian Baiduri merupakan sebahagian daripada perkhidmatan berjaya dan integral yang ditawarkan oleh bank berkenaan, dengan pada masa ini, lebih daripada 80 peratus transaksi pelanggan dilakukan menerusi saluran elektronik.

Menjelaskan lanjut mengenai haluan perbankan elektronik, Andrew Yong dipetik berkata, “Kami sentiasa mengkaji konsep dan idea-idea dalam makmal perbankan kami untuk menggambarkan trend pada masa ini, bagi memberikan yang terbaik kepada pelanggan kami.

“Keutamaan kami sentiasa mengenai mempertingkatkan pengalaman pengguna dan dengan matlamat ini, kami berhasrat untuk memenuhi jangkaan pelanggan-pelanggan. Kami menerima cadangan mereka untuk dipertimbangkan. Untuk memenuhi permintaan yang meningkat, Baiduri bergerak ke arah pendigitan beberapa perkhidmatan dan membolehkan perbankan mudah alih,” tambahnya.

Perbankan Online Baiduri, pada masa ini, menjalankan kempen selama empat bulan sehingga 30 April dengan menawarkan hadiah-hadiah menarik seperti Apple iPhone 6S, Apple Watch Sport dan kamera aksi GoPro HERO4.

Pelanggan juga berpeluang memenangi baucar Coffee Bean & Tea Leaf bernilai $10 apabila memuat naik gambar bertema ‘How Baiduri Online Banking Benefits You’ ke Instagram menggunakan hashtag ‘takebaidurieverywhere’.

ARTIKEL YANG SAMA