Baiduri raika...

Baiduri raikan pelanggan sempena Tahun Baru Cina

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh James Kon

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Kemeriahan Tahun Baru Cina masih lagi terasa walaupun sudah berakhir beberapa hari lalu dengan Kumpulan Bank Baiduri hari ini telah mengadakan Majlis Makan Tengah Hari bagi meraikan para pelanggannya yang terdiri daripada masyarakat Cina di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Para tetamu termasuklah Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof.

Dalam ucapan alu-aluannya pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof turut berkongsi mengenai perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh bank berkenaan sejak tahun lepas.

Menurutnya, pada tahun lepas, bank berkenaan telah menerima empat anugerah perbankan utama yang membuktikan bahawa Bank Baiduri mempunyai prestasi yang baik dan kukuh sepanjang tahun yang mencabar.

Anugerah-anugerah tersebut ialah ‘World’s Best Emerging Market Bank di Asia Tenggara untuk Brunei daripada Global Finance; Anugerah Domestic Retail Bank dari Majalah Asian Banking dan Finance: The Best Banking Group Brunei dari World Finance dan baru-baru ini Bank Baiduri menerima Anugerah Bank of The Year Brunei dari Majalah The Banker, ujarnya.

Pierre Imhof bersama Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dan kakitangan lainnya ketika menghadiri majlis makan tengah hari tersebut.
Pierre Imhof bersama Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dan kakitangan lainnya ketika menghadiri majlis makan tengah hari tersebut.
Pierre Imhof ketika menyerahkan sumbangan kepada wakil dari Sekolah Menengah Chung Hwa.
Pierre Imhof ketika menyerahkan sumbangan kepada wakil dari Sekolah Menengah Chung Hwa.

Menurut Pierre Imhof, walaupun persekitaran ekonomi yang mencabar, Bank Baiduri masih berupaya mencatatkan prestasi yang baik pada 2016 serta percaya pada masa depan industri kewangan di negara ini akan bertambah baik meskipun persekitarannya yang semakin mencabar.

“Walaupun dalam keadaan ekonomi yang sukar, kami percaya terdapat banyak peluang untuk perniagaan dan untuk Kumpulan Bank Baiduri berkembang tatkala Brunei semakin hebat mempelbagaikan ekonomi dan pembangunan perniagaan tempatan,” tambah beliau lagi.

Mengenai pembangunan pejabat baru yang sedang giat dibangunkan dan dijangka akan siap pada tahun 2018, beliau berkata, beberapa cawangan Bank Baiduri akan dipindah ke bangunan baru berkenaan dengan suasana yang lebih selesa dan yang lebih besar dengan tujuan untuk meningkatkan lagi perkhidmatan pelanggan ke tahap yang lebih profesional.

“Kami telah memindahkan Cawangan Tutong dan ditempatkan di Petani Mall, Tutong dan Cawangan Kiulap juga dipindah ke premis yang lebih besar dan lebih baik di Kompleks Shakirin dan kami juga sedang merancang untuk menempatkan Cawangan Serusop dan Sengkurong pada tahun ini,” tambah Pierre Imhof.

Majlis Sambutan Tahun Baru Cina bagi tahun 2017 juga diselajurkan dengan penyampaian sumbangan derma kewangan daripada Kumpulan Bank Baiduri sebagai bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan di sekolah-sekolah terpilih iaitu Sekolah St Andrew dan Sekolah St George, Sekolah Menengah Chung Hwa dan Sekolah Chung Hwa Kiudang. Sumbangan-sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pierre Imhof.