Baiduri tingkatkan kemahiran perancang kewangan

Baiduri tingkatkan kemahiran perancang kewangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Seramai 21 kakitangan Bank Baiduri menerima sijil setelah berjaya menamatkan kursus Program Pengamal Perancang Kewangan (FPPP) di Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM).

Penyampaian sijil pada majlis yang berlangsung di cawangannya di Kiarong, telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof.

Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Kewangan, Veronica Chong dipetik sebagai berkata, “Kesedaran generasi kini mengenai kepentingan perancangan kewangan semakin meningkat dan kita sudah dapat melihat peningkatan aktiviti-aktiviti perancangan kewangan di negara ini.

“Dengan perkembangan ini dan selaras dengan wawasan kerajaan untuk menyemai budaya menyimpan dalam kalangan rakyat Brunei, kami berusaha untuk membangunkan kakitangan kami bagi memenuhi permintaan yang meningkat ini dalam membantu pelanggan kami,” ujarnya, sambil menambah, sehingga kini, Bank Baiduri mempunyai jumlah kakitangan terbanyak yang mempunyai kelayakan ini dalam industri.

Menjelaskan lanjut mengenai lulusan FPPP dan FPPP Lanjutan (Accelerated FPPP), Pembantu Pengurus Pembelajaran dan Pembangunan, Chiam Chin Huei memberitahu bahawa mereka merancang untuk menempatkan perancang-perancang kewangan mereka di cawangan-cawangan mereka untuk menyediakan lebih banyak pendekatan holistik kepada pengurusan harta.

Gambar ramai peserta kursus yang menerima sijil, kelmarin.
Gambar ramai peserta kursus yang menerima sijil, kelmarin.

“Kami menjangkakan pelanggan kami boleh mendapatkan semua program dan produk yang kami tawarkan, tanpa mengira cawangan mana yang mereka kunjungi,” ujarnya lagi, sambil menambah bahawa pensijilan FPPP merupakan prasyarat dalam mendapatkan Lesen Perwakilan Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL).

Baiduri dalam kenyataannya berkata, secara purata, perancang kewangan mempunyai sekurang-kurangnya setahun pengalaman dalam perancangan kewangan am sebelum mengambil CMSRL.

FPPP direka untuk mengatasi keperluan pelesenan dan sebagainya, bagi perancang kewangan dengan panduan dan sokongan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) serta TAP dalam meliputi pengetahuan dan kemahiran minimum yang dijangkakan bagi seorang perancang kewangan yang cekap.

Menurut kenyataan itu lagi, FPPP meliputi bidang-bidang seperti pengurusan dan pembelanjaan wang tunai, pengurusan risiko, insurans dan perancangan pelaburan serta perancangan persaraan dan estet mengikut etika kod dan amalan undang-undang tempatan yang betul.

Turut hadir pada majlis penyampaian sijil berkenaan ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui, Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha dan Ketua Jabatan Perbendaharaan, Awangku Nor Muhammad Nizam bin Pengiran Haji Tengah serta kakitangan bank yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA