Baik pulih rumah panjang

Baik pulih rumah panjang

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 3 April – Program Membaik pulih Rumah Panjang di Sarawak akan dilancarkan tidak lama lagi dengan kelulusan peruntukan sebanyak RM50 juta daripada kerajaan pusat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia merupakan antara program yang terbaik di dunia bakal membangunkan rumah-rumah panjang di bawah pinjaman tanpa faedah yang bakal memberi manfaat kepada masyarakat di negeri ini.

“Tidak lama lagi saya akan melancarkan Program Membaik pulih Rumah Panjang untuk Sarawak dengan meluluskan peruntukan RM50 juta,” katanya pada Perasmian Program Sejiwa Senada (SJSN) di Kompleks Sukan Limbang semalam.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, isteri Adenan Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu,Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Speakar DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, dan kenamaan lain.

Najib berkata lagi pelbagai program berkonsepkan rakyat dilaksana di bawah kerajaan pusat untuk membantu Sarawak.

Najib (tiga kanan), di pentas Sejiwa Senada bersama Adenan (kanan) semalam.
Najib (tiga kanan), di pentas Sejiwa Senada bersama Adenan (kanan) semalam.

“Antaranya memberikan peruntukan khas kepada kerajaan negeri sebanyak RM100 juta untuk menyelesaikan soalan kaji selidik, dan kerja mengukur tanah NCR seluas 634,000 hektar di bawah program tersebut.

“Kerajaan pusat amat mengambil berat soal tanah adat NCR yang menjadi rungutan masyarakat peribumi di Sarawak,”dedahnya.

Sementara itu Najib mahu rakyat terus memilih kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana rekod cemerlang BN dalam mentadbir negara dengan baik.

“Banyak sebab mengapa rakyat perlu memilih kerajaan dalam PRN, kerana BN membuktikan mereka dapat menjadikan hari ini lebih baik dari semalam.

“Kita mahu menentukan parti yang boleh menjamin masa depan anak-anak bangsa dan negara, dengan menyokong BN,” katanya.

Beliau menambah BN bukan mabuk kuasa, kerana kerajaan ditentukan setiap lima tahun dalam pilihan raya.