Baiki taraf dan kedudukan PKS di Sabah

Baiki taraf dan kedudukan PKS di Sabah

KOTA KINABALU, 27 Mei (Bernama) – Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah menggesa pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini memperbaiki taraf dan kedudukan industri itu supaya setanding dengan usahawan di Semenanjung dan di negara ASEAN lain.

Katanya, walaupun peningkatan PKS di Sabah agak membanggakan, namun keupayaan dan produktiviti sektor itu masih boleh dianggap di peringkat awal pembangunannya.

“Tahap pengurusan, pengeluaran, pemasaran dan promosi serta rangkaian perniagaan memerlukan peningkatan supaya berada pada tahap yang lebih memuaskan,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Minggu PKS, di Pusat Perdagangan Sabah, Likas dekat sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Hashim Paijan.

Tan yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata, kerajaan negeri dan persekutuan akan terus memajukan PKS di negara ini.

Menurutnya, tahun lalu pelbagai bantuan dan kemudahan disediakan kepada 600,000 PKS melalui 162 program bernilai RM10 juta manakala dan RM11.3 juta diperuntukkan kepada kira-kira 500,000 PKS melalui 163 program tahun ini.

Katanya, program bantuan itu terbahagi kepada lima komponen utama, iaitu akses kepada kewangan, latihan, inovasi dan teknologi, pemasaran dan infrastruktur.

Minggu PKS yang diadakan Dewan Raya Koidupan, Penampang berkenaan disertai 130 pengusaha.

ARTIKEL YANG SAMA