BAJA hoskan sidang ASCOJA 2017

BAJA hoskan sidang ASCOJA 2017

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Negara Brunei Darussalam khususnya Persatuan Alumni Jepun Brunei (BAJA), buat kali pertamanya secara rasmi menjadi Pengerusi Majlis Alumni Jepun ASEAN (ASCOJA) bagi 2017 dan akan menjadi hos kepada Persidangan ASCOJA pada 2017.

Pemilihan BAJA sebagai Pengerusi Majlis ASCOJA bagi 2017 merupakan kali pertama Brunei akan menjadi hos kepada Persidangan ASCOJA sejak menyertainya di mana Majlis Penyerahan Bendera Pengerusi ASCOJA berlangsung semasa Persidangan ASCOJA ke-22 yang berlangsung di e-City Hotel, Kuala Lumpur, Malaysia pada 30 September hingga 2 Oktober lalu.

Di dalam persidangan itu, BAJA diwakili oleh tujuh orang yang diketuai oleh Setiausaha BAJA, Dayang Najmina Latif di mana persidangan berkenaan dihoskan oleh Persatuan Graduan Jepun Malaysia (JAGAM).

Persidangan ASCOJA ke-22 membawa tema, ‘ASEAN-Japan Bridging Cultural Ties in Trade, Tourism and Technology,’ yang mengetengahkan ucaptama daripada penceramah-penceramah penting termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Ong Ka Chuan, Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Munir bin Abdul Majid dan Pengarah Hal Ehwal Antarabangsa, Agensi Pelancongan Jepun, Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan, Kazuo Chujo.

Delegasi BAJA yang diketuai oleh Dayang Najmina Latif yang menghadiri Persidangan ASCOJA ke-22.
Delegasi BAJA yang diketuai oleh Dayang Najmina Latif yang menghadiri Persidangan ASCOJA ke-22.

Dalam ucapan-ucapan yang disampaikan, mereka melahirkan harapan agar ahli-ahli ASCOJA akan terus menjadi laluan utama untuk mempromosi hubungan di antara penduduk Jepun dan ASEAN serta menekankan integrasi perjanjian perdagangan bebas dan teknologi dalam meningkatkan perdagangan di antara kedua belah pihak terutama untuk memudahkan e-Perniagaan.

Semasa persidangan itu juga, pengenalan pelancongan bertema dalam Dasar Pelancongan Jepun turut diketengahkan dan dibentangkan.

Majlis juga menyaksikan penyerahan bendera pengerusi ASCOJA secara rasmi daripada JAGAM kepada BAJA yang disempurnakan oleh Pengerusi JAGAM, Dr. Ooi Chee Keong kepada wakil BAJA, Dayang Najmina Latif dan Joshua Lim Sheng Ming.

Di samping Persidangan ASCOJA itu, Simposium Antarabangsa Alumni Jepun Asia (ASJA) bagi Perdagangan, Pelancongan dan Teknologi turut diadakan di mana BAJA diwakili oleh Pegawai Pelajaran, Dayang Anitasartini Tarip telah membentangkan kertas kerjanya bertajuk, ‘The impact of WhatsAPP on learning purposes in History Classroom: the case study of Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah College in Brunei Darussalam.’

ARTIKEL YANG SAMA