Bajet 2016 cermin tumpuan ke atas RMK-11

Bajet 2016 cermin tumpuan ke atas RMK-11

JOHOR BAHARU, 29 Sept (Bernama) – Bajet Malaysia 2016 akan mencerminkan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), dengan memberi tumpuan ke atas usaha untuk mengimbangi antara ekonomi modal dan ekonomi rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Datuk Seri Idris Jala berkata kerajaan akan meneruskan program transformasinya dengan penekanan ke atas kedua-dua usaha tersebut.

“Yang pasti, akan sentiasa ada keseimbangan dalam bajet untuk ekonomi modal dan ekonomi rakyat.

“Apa yang dimuatkan dalam bajet, akan mencerminkan RMK-11,” katanya kepada pemberita di luar acara Invest Iskandar Malaysia 2015 di Persada Johor International Convention Centre, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai Bajet 2016 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 23 Oktober.

Idris berkata usaha akan dilakukan bagi memastikan semua inisiatif menyokong pertumbuhan mampan.

Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan kemungkinan pedagang swap mungkir kredit (CDS) menurunkan Malaysia kepada status kadar rendah, sebagai berat sebelah.

“Mereka berat sebelah, sentimen mereka negatif, namun agensi penarafan utama dan rasmi masih melihat Malaysia pada kedudukan positif,” katanya.

Berdasarkan rekod pelaburan lima tahun lepas, katanya, asas ekonomi masih baik, dan sentimen positif akan kembali.

Beliau berkata sekarang adalah masa yang baik untuk melabur, dengan harga saham sangat rendah, yang menawarkan peluang yang besar, namun mengingatkan pelabur bahawa ekonomi pasti melalui kitaran turun naik.

“Kebanyakan pelabur sangat takut untuk melabur dalam kedudukan ekonomi yang lemah pada kitaran rendah, namun bagi pelabur yang berani yang memahami peluang pelaburan jangka panjang, inilah masa terbaik untuk melabur.

“Mesej utama saya ialah untuk menggalakkan pelabur merebut peluang ketika ekonomi lembap, mencari peluang melabur untuk masa depan,” katanya.

Idris sebelum itu menyampaikan ucap-tama pada forum pertama ‘Transformasi dan Inovasi’ yang menyentuh mengenai Program Transformasi Ekonomi yang merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan mempersiapkan negara untuk menghadapi cabaran ekonomi sukar.