Bajet 2016 fokus prospek ekonomi jangka panjang

Bajet 2016 fokus prospek ekonomi jangka panjang

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada Jumaat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dijangka kekal berkisar kepada strategi mentransformasi negara sebagai ekonomi maju berpendapatan tinggi pada 2020.

Cadangan Bajet itu meliputi langkah-langkah strategik bagi merangsang permintaan domestik berikutan kebimbangan terhadap persekitaran luaran yang mencabar tahun depan, selain menambah habuan kepada isi rumah hasil daripada pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), terutama golongan berpendapatan rendah.

“Beberapa tindakan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh dan stabil akan diumumkan dalam Bajet 2016,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan menerusi twitter beliau baru-baru ini.

Bajet 2016 merupakan bajet pertama dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). Berdasarkan situasi itu, kebanyakan penganalisis menjangkakan cadangan Bajet 2016 akan mengandungi strategi khusus untuk tempoh jangka sederhana dan jangka panjang, dengan fokus ke atas usaha meningkatkan produktiviti, modal intelek, kemahiran, inovasi dan teknologi, bagi mengukuhkan kedudukan asas negara.

Selari dengan tema RMK-11 yang berpaksikan rakyat, ia berkata Perdana Menteri akan memastikan lebih banyak tumpuan diberikan ke atas pembangunan sumber manusia menerusi aspek pendidikan dan latihan.

Dengan produktiviti sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dalam RMK-11, penganalisis juga menjangkakan Bajet 2016 akan meningkatkan lagi insentif kepada sektor swasta untuk melabur dalam meningkatkan lagi produktiviti.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Datuk Seri Idris Jala berkongsi pandangan yang sama bahawa bajet kali ini mesra rakyat, lebih besar berbanding sebelumnya, bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana menangani inflasi dan peningkatan kos sara hidup.

Mengenai GST, lebih banyak maklumat dijangka diumumkan semasa pembentangan bajet, termasuk dari mana dan bagaimana hasil yang dikutip dibelanjakan.

Ini termasuk pendapatan kasar dan pulangan untuk perniagaan dan pelancong; jumlah sebenar syarikat yang berdaftar dengan GST yang membayar dan tidak membayar cukai; jumlah denda yang dikumpul ekoran pendafataran lewat dan pelanggaran dan ketidakpatuhan ke atas Akta GST.

Menurut RHB Research Institute, kerajaan dijangka memberi penjelasan mengenai kemungkinan usaha untuk mengkorporatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran GST, seperti yang dilakukan ke atas Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Sasaran kerajaan untuk setahun penuh pelaksanaan GST berjumlah RM23.2 bilion.

Bagi Bajet 2016, Kerajaan dijangkakan mengumumkan sasaran yang berkemungkinan mencecah RM31.4 bilion sasaran tahunan dalam RMK-11. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA