Bajet 2017 akan utamakan kepentingan rakyat

Bajet 2017 akan utamakan kepentingan rakyat

SUNGAI PETANI, 9 Okt – Pembentangan Bajet 2017 yang dijadualkan pada akhir bulan ini akan mengutamakan kepentingan rakyat, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Mohd Irwan Serigar berkata, banyak langkah-langkah yang akan diumumkan bakal memberikan manfaat kepada semua golongan khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

“Akan ada ‘allocation’ yang besar yang disediakan untuk keusahawanan di seluruh negara sebab kita rasa potensinya amat besar, daripada bekerja dengan orang, baik kita cipta usahawan yang kemudiannya akan mencipta peluang kerja kepada individu lain,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri program Bumipreneurs Of Tomorrow (Bahtera) 2016 Edisi Utara, kelmarin.

Tambahnya, kerajaan sentiasa berfikir di luar kotak tentang bagaimana untuk memajukan negara dan dalam masa sama mengekalkan keadaan itu.

“Justeru itu, bandar-bandar kecil termasuk Sungai Petani, kita akan majukan keusahawanan yang melibatkan anak tempatan di bandar ini, selepas itu mereka boleh maju ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA