Bajet 2017 M’sia perkasa ekonomi negara

Bajet 2017 M’sia perkasa ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Bajet 2017 akan meliputi langkah untuk memperkasa dan memacu ekonomi negara dalam mendepani cabaran kelembapan ekonomi dunia ketika ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada industri yang terjejas akibat kemerosotan ekonomi dunia yang mengekang perdagangan antarabangsa.

“Nescaya perancangan dan olahan Bajet 2017 ini akan terus memperkasa dan memacu ekonomi negara untuk kesejahteraan rakyat secara inklusif dan saksama,” kata beliau pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mengenai kedudukan ekonomi negara dan langkah untuk memperbaikinya.

Mengenai keadaan ekonomi negara, katanya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tumbuh 5.0 peratus tahun lepas, mengatasi negara serantau seperti Indonesia (4.8 peratus), Thailand (2.8 peratus) dan Korea Selatan (2.6 peratus).

Malah, Najib berkata ekonomi negara juga berkembang pada kadar yang lebih tinggi berbanding ekonomi dunia, yang berkembang pada kadar 3.2 peratus.

Bagi tahun ini katanya, ekonomi negara pada separuh pertama berkembang pada kadar 4.1 peratus dan diunjurkan berkembang pada kadar 4.0-4.5 peratus bagi 2016.

Katanya penurunan kadar pertumbuhan KDNK bagi tahun ini berbanding tahun lepas berpunca daripada momentum pertumbuhan ekonomi dunia yang agak lembap dan penurunan eksport Malaysia.

Selain itu, katanya kelemahan dalam pasaran antarabangsa juga menyebabkan harga komoditi seperti minyak, gas, kelapa sawit dan mineral turut merosot, selain perkembangan geopolitik di Eropah yang dikejutkan oleh Brexit, turut menambah ketidaktentuan ekonomi dunia.

Bagaimanapun, Najib berkata kerajaan tetap komited untuk mengurangkan defisit fiskal negara kepada 3.1 peratus tahun ini berbanding 3.2 peratus tahun lepas.

“Komitmen untuk mewujudkan defisit fiskal ini bukanlah perkara senang. Ia memerlukan disiplin fiskal yang tinggi dan perbelanjaan berhemah,” katanya.

Perdana Menteri berkata perbelanjaan kerajaan bertumpu kepada usaha bagi menarik pelaburan berimpak tinggi yang mampu untuk meningkatkan daya saing negara dan memangkin pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.

“Jelas, tindakan kerajaan setakat ini berjaya mengekalkan momentum ekonomi negara dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh serta disokong oleh kadar inflasi dan pengangguran yang rendah,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA