Bajet SME 2016 bangunkan kapasiti PKS

Bajet SME 2016 bangunkan kapasiti PKS

KUALA LUMPUR, 12 Okt – SME Corporation Malaysia (SME Corp) telah mengemukakan senarai harapan untuk Bajet 2016, yang antara lain mengutamakan pembangunan kapasiti, insentif percukaian dan bantuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk berkembang ke luar negara, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hafsah Hashim.

Agensi penyelarasan pusat bagi PKS itu berharap PKS berupaya menangani cabaran yang menjejaskan perniagaan mereka tahun depan, katanya.

“Cadangan itu bertujuan membantu PKS mengharungi situasi ekonomi semasa dan mengekalkan perniagaan masing-masing,” katanya kepada pemberita pada Seminar Tawaran Awam Permulaan (IPO) 2015 – Membawa PKS ke tahap pertumbuhan seterusnya menerusi ‘Stairway to Listing’ di sini hari ini.

Hafsah berkata memandangkan akses kepada pembiayaan dan menjadikan PKS syarikat awam penting untuk PKS, SME Corp akan meningkatkan pemahaman mereka mengenai proses IPO dan manfaatnya.

Dalam ucapannya, Pengerusi SME Corp Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata walaupun ekonomi domestik terjejas akibat penurunan pasaran saham global disebabkan harga minyak yang rendah dan ekonomi China dan US yang perlahan, ekonomi Malaysia kekal kompetitif.

Beliau menggesa PKS melihat kedudukan semasa sebagai peluang untuk menyiapkan diri untuk pemulihan ekonomi, yang dijangkakan bermula secara beansur-ansur pada 2017 atau 2018.

“Oleh itu, Seminar IPO ini akan menyediakan persiapan awal untuk PKS menyepadukan diri dalam rangkaian nilai yang lebih tinggi seperti penyenaraian di Bursa Malaysia,” katanya.

Siri keempat ‘Stairway to Listing’ itu dianjurkan bersama oleh SME Corp, Bursa Malaysia, MIDF Amanah Investment Bank Bhd dan Unit Penyelaras Agenda Bumiputera.

Lebih 150 PKS menghadiri seminar itu yang bermatlamat menyokong agenda kerajaan dalam membantu PKS meningkatkan modal dan profail.

Turut hadir 60 pemenang PKS bagi Anugerah 50 Perusahaan (sekarang dan lepas), yang disenarai di Bursa Malaysia, 46 daripadanya di Pasaran Utama dan 14 di Pasaran ACE.

Tahun ini, tiga syarikat yang menyertai sesi ‘Stairway to Listing’ yang disenarai di bursa tempatan, dengan pemodalan pasaran berjumlah hampir RM500 juta. Ia terdiri daripada AE Technique (M) Bhd, Bioaplha Holdings Bhd dan Sedania Innovator Bhd. – Bernama