Baka BDR5 berpotensi tinggi

Baka BDR5 berpotensi tinggi

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Pada masa ini, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), telah menjalankan kajian kesesuaian baka BDR5 selama beberapa musim di beberapa buah ladang di Daerah Temburong dan Daerah Belait yang disasarkan di kawasan tadahan hujan dan mempunyai tempoh matang sekitar 150 hari dan hanya boleh ditanam sekali dalam setahun.

Setakat ini, ujar Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Haji Ali bin Haji Apong, prestasi BDR5 ini di kawasan-kawasan tersebut telah menunjukkan potensi yang tinggi.

“Baka BDR5 ini merupakan salah satu baka yang dihasilkan di bawah Program Penyelidikan Padi yang diadakan oleh jabatan ini,” jelas Yang Berhormat Dato Haji Ali semasa hari kelapan Majlis Mesyuarat Negara bersidang, hari ini.

Terdahulu itu, semasa menjawab persoalan Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, Yang Berhormat Dato Haji Ali berkata antara usaha yang dilakukan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk meningkatkan pengeluaran padi di kawasan-kawasan tadahan hujan di Daerah Temburong adalah menyediakan insentif-insentif bahan pertanian termasuk baja, racun, mesin dan jentera serta skim bantuan harga padi.

Selain itu, menganjurkan kursus sekolah perladangan dalam pengusahaan padi, untuk meningkatkan pengetahuan para pengusaha dan pengurusan penanaman yang efektif serta menyumbangkan kepada peningkatan kuantiti dan kualiti hasil padi.

Yang Berhormat Dato Haji Ali memberikan keterangan mengenai baka BDR5.
Yang Berhormat Dato Haji Ali memberikan keterangan mengenai baka BDR5.

Usaha ketiga adalah menjalankan kajian kesesuaian baka-baka padi baru di kawasan tadahan hujan untuk mengenal pasti jenis-jenis padi yang berkhasiat tinggi dan sesuai ditanam yang bergantung kepada air hujan.

Sementara itu, dalam memastikan perkembangan industri padi yang berterusan dan berdaya tahan, Yang Berhormat Dato Haji Ali mengongsikan satu lagi strategik pilihan KSSUP iaitu menggunakan varieti padi yang menghasilkan pengeluaran padi yang tinggi.

Contohnya, penghasilan Padi Laila secara besar-besaran pada tahun 2009, telah menyumbang peningkatan hasil yang amat ketara, berbanding dengan pengeluaran hasil padi yang rendah pada tahun sebelumnya.

Menurutnya lagi, pada tahun 2017, pihak kementerian akan menyasarkan penanaman Padi Titih yang berupaya mencapai potensi hasil lapan metrik tan bagi sehektar semusim.

Pada masa ini, tambahnya, pihak kementerian melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sedang berusaha dan mendapatkan untuk mengumpulkan padi yang boleh menghasilkan 12 metrik tan padi sehektar setahun.

Selain itu, menyasarkan varieti-varieti padi untuk diperkenalkan kepada peladang-peladang pada tahun 2019, setelah kajian-kajian tersebut selesai dilaksanakan mengikut kesesuaiannya.

ARTIKEL YANG SAMA