Bakal bawa impak besar

Bakal bawa impak besar

PAPAR, 24 April – Projek Lebuh raya Pan Borneo Sabah akan membawa impak yang besar kepada bumi Sabah dan rakyatnya termasuk dari segi pembangunan sosioekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata walaupun banyak projek telah dilaksanakan di negeri ini namun jika dibuat perbandingan tidak dinafikan apabila projek lebuh raya itu siap kelak, ia bakal menjadi projek yang membawa kesan dan impak paling besar di negeri ini.

Katanya ini kerana impak pembangunan yang bakal dibawa Lebuh raya Pan Borneo Sabah kelak bersifat lonjakan berganda serta berterusan, tidak seperti projek biasa yang lain.

“Ya, kita telah buat banyak projek di Sabah. Kita telah buat Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP), Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT), Lahad Datu Palm Oil Industrial Cluster (POIC), kita wujudkan Universiti Malaysia Sabah (UMS), kita bina jalan raya luar bandar, laksanakan projek bekalan elektrik, air, projek perumahan rakyat dan pelbagai lagi sejak Sabah bersama membentuk Malaysia.

“Tapi kalau kita nilai dalam banyak projek tersebut, dalam membuat perbandingan mana satu projek yang bawa impak paling besar, saya berani kata bahawa projek Lebuh raya Pan Borneo untuk Sabah merupakan projek yang paling besar kesan dan impaknya kepada bumi Sabah,” katanya.

Datuk Seri Najib diiringi oleh Datuk Seri Musa Aman melambaikan tangan kepada orang ramai ketika tiba untuk merasmikan Lebuh raya Pan Borneo Sabah di Kampung Andus. – Bernama
Datuk Seri Najib diiringi oleh Datuk Seri Musa Aman melambaikan tangan kepada orang ramai ketika tiba untuk merasmikan Lebuh raya Pan Borneo Sabah di Kampung Andus. – Bernama

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Lebuh raya Pan Borneo Sabah di Kampung Andus, Papar yang dihadiri lebih 20,000 rakyat pelbagai lapisan dan kaum.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta menteri-menteri persekutuan dan negeri Sabah.

Najib berkata pelancaran projek Lebuh raya Pan Borneo Sabah juga membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) menepati janjinya dalam manifesto pilihan raya umum 2013 bahawa dalam tempoh lima tahun projek Lebuh raya Pan Borneo sepanjang 2,300 kilometer dari Semantan, Sarawak ke Serudong, Sabah akan dilaksanakan.

Najib juga menyifatkan Lebuh raya Pan Borneo Sabah sebagai pencetus  perubahan sebenar kerana projek itu akan membentuk rangkaian jalan raya empat lorong bermula dari Sindumin ke Tuaran, Kudat, Ranau, Lahad Datu, Tawau dan kemudian Tawau ke Kimanis dan Kota Kinabalu dalam tempoh 20 tahun. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA