Bakal berdepan hukuman penjara

Bakal berdepan hukuman penjara

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 14 Sept – Seorang lelaki tempatan berdepan hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tiga sebatan jika didapati bersalah atas tuduhan mengedar ganja di Kampung Pandan pada tahun 2011.

Mohamad Zulazri Mohamad Hamdan, 28, mengaku tidak bersalah memiliki 18 gram ganja dengan niat untuk menjualnya di Rancangan Perumahan Negara, Kampung Pandan di sini pada 16 Mei 2011.

Dia bagaimanapun mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan lain atas kesalahan mengambil dadah methylamphetamine dan ganja serta memiliki peralatan mengambil dadah pada tarikh yang sama.

Mahkamah menetapkan 18 Februari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan dan pihak pendakwa bercadang untuk menampilkan 10 orang saksi bagi membuktikan kes tersebut.

Jika didapati bersalah Mohamad Zulazri akan berdepan hukuman yang telah dinyatakan seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27.

ARTIKEL YANG SAMA