Bakal calon Presiden FIFA temui Platini

Bakal calon Presiden FIFA temui Platini

SEOUL, 28 Julai (Reuters) – Pegawai Korea Selatan, Chung Mong Joon yang dijangka mengumumkan pencalonannya untuk jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bulan depan, telah menemui bakal pencabarnya Michel Platini di Amerika Syarikat semalam dan menyeru satu ‘pertandingan adil’ sekiranya dia memasuki perebutan itu.

Bekas Naib Presiden FIFA, Mong Joon berkata minggu lalu dia masih mempertimbangkan kemungkinan untuk menggantikan Sepp Blatter sebagai pemimpin badan induk bola sepak dunia yang dilanda skandal itu dan pe­ngumuman rasmi akan dibuat pada pertengahan Ogos.

Mong Joon, keturunan bilionair konglomerat Hyundai dan seorang daripada tokoh paling berpengaruh dalam bola sepak Asia, memuatkan sekeping gambar pertemuannya dengan pemimpin Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Platini dalam laman sosial rasminya (www.mjchung.com) dan berkata, dia merancang untuk menemuinya semula di Eropah pada Ogos.

Pertemuan Platini dan Mong Joon itu berlaku ketika mereka menghadiri perlawanan akhir Piala Emas Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Carribean (CONCACAF), semalam di Philadelphia antara Jamaica dan Mexico.

Chung Mong Joon dijangka mengumumkan pencalonannya untuk jawatan Presiden FIFA bulan depan. – Reuters
Chung Mong Joon dijangka mengumumkan pencalonannya untuk jawatan Presiden FIFA bulan depan. – Reuters

Kongres pemilihan luar biasa untuk kesemua 209 ahli persatuan akan memutuskan pengganti kepada Blatter yang menerajui FIFA sejak 1998.

Blatter mengumumkan pada 2 Jun dia akan berundur, hanya empat hari selepas memenangi penggal kelima dalam pemilihan sempena kongres yang dibayangi oleh penahanan tujuh pegawai bola sepak.

Mong Joon, yang merupakan bekas ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA, adalah pengkritik lantang terhadap Blatter. Dia merupakan pemegang saham terbesar dalam Hyundai Heavy Industries Co. Ltd. dan pernah dijangka menjadi presiden Korea Selatan.

Dia berpengaruh dalam membawa Piala Dunia ke Korea Selatan pada 2002, apabila menjadi tuan rumah bersama Jepun.

ARTIKEL YANG SAMA