Bakal graduan Politeknik Brunei sertai raptai penuh

Bakal graduan Politeknik Brunei sertai raptai penuh

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Bagi memastikan kelancaran Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei ke-2 yang akan berlangsung esok di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), raptai penuh majlis berkenaan telah diadakan hari ini.

Hadir bagi memastikan raptai berkenaan berjalan dengan lancar ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Selain bagi memastikan acara berjalan dengan lancar, raptai ini juga bertujuan untuk memastikan bakal-bakal graduan berpakaian lengkap dan bersesuaian, serta mengetahui tatacara ketika menerima sijil pada majlis konvokesyen berkenaan.

Dijangka hadir selaku tetamu kehormat serta mengurniakan sijil Diploma Lanjutan kepada para graduan pada majlis itu esok ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Salah seorang graduan ketika berlatih menerima sijil beliau.
Salah seorang graduan ketika berlatih menerima sijil beliau.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom pada raptai penuh majlis konvokesyen berkenaan.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom pada raptai penuh majlis konvokesyen berkenaan.

Pada majlis konvokesyen kedua ini, seramai 325 bakal graduan termasuk 143 orang lelaki dan 182 orang perempuan akan menerima sijil Diploma Lanjutan (AD) dalam jurusan masing-masing.

Para graduan berkenaan telah tamat program pengajian selama dua tahun yang ditawarkan oleh sekolah-sekolah di bawah Politeknik Brunei, iaitu Sekolah Perdagangan, Sekolah Informasi Komunikasi dan Teknologi (ICT) dan Sekolah Sains dan Kejuruteraan.

ARTIKEL YANG SAMA