Bakal haji Kem. Kewangan dirai

Bakal haji Kem. Kewangan dirai

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Bagi memberkati pemergian bakal haji ke Mekah tahun ini, majlis-majlis doa selamat semakin rancak diadakan dan Kementerian Kewangan turut tidak ketinggalan meraikan bakal haji kementerian itu dan jabatan-jabatan di bawahnya dalam Majlis Doa Selamat yang diadakan di Dewan Teater, kementerian itu hari ini.

Empat orang pegawai dan kakitangan diraikan dalam majlis itu yang dihadiri oleh Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Majlis turut diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Ibadah Haji Menuju Syurga Allah’ disampaikan oleh Penceramah Undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Haji Jofri bin Haji Hidup.

Dalam ceramah itu, beliau antara lain menggariskan, ibadah haji dan umrah merupakan ibadah yang istimewa yang mana pahala dan kelebihannya juga adalah besar dan memerlukan bakal haji untuk mengerjakannya bersungguh-sungguh.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman bersama tetamu lain di majlis meraikan bakal-bakal jemaah haji kementerian berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman bersama tetamu lain di majlis meraikan bakal-bakal jemaah haji kementerian berkenaan.
Antara warga kementerian yang diraikan dan hadir di majlis itu.
Antara warga kementerian yang diraikan dan hadir di majlis itu.

Beliau menambah, apa yang diinginkan ialah haji yang bukan biasa-biasa tetapi haji yang luar biasa bahkan lebih dari luar biasa iaitu menuju syurga Allah kerana haji yang mabrur itu tidak ada balasannya kecuali syurga Allah.

Majlis juga diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada bakal jemaah haji kementerian berkenaan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin.

Majlis seumpama ini merupakan majlis tahunan kementerian berkenaan bagi meraikan bakal-bakal haji tahun ini di mana majlis kali ini dikendalikan oleh Agensi Pelaburan Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA