Bakal haji Kem. Pendidikan dirai

Bakal haji Kem. Pendidikan dirai

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Seramai 26 orang bakal jemaah haji dari Kementerian Pendidikan yang terdiri daripada pegawai, guru dan kakitangan kementerian termasuk pusat-pusat pengajian tinggi diraikan dalam Majlis Doa Kesyukuran dan Doa Selamat bagi Bakal-bakal Jemaah Haji Kementerian Pendidikan bagi 2016 yang berlangsung di Dewan Serba Guna Sekolah Rendah Jalan 10 Utara, Jalan 64, Rancangan Perumahan Negara Kampung Lambak Kanan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kepada bakal-bakal jemaah haji berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Datin Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Profesor Madya Dr Haji Azman bin Haji Ahmad; Ketua Pengarah Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus, para pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Pendidikan.

Yang Berhormat Pehin ketika menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin ketika menghadiri majlis berkenaan.

Di majlis itu, para hadirin berpeluang untuk mendengar ceramah khas bertajuk ‘Aroma Haji Mabrur’ yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Khairul Nazif bin Haji Awang Damit yang menyentuh mengenai nasihat dan amalan serta persediaan bagi bakal jemaah haji.

Majlis kemudian menyaksikan penyampaian sumbangan derma kepada 26 orang bakal jemaah haji warga Kementerian Pendidikan iaitu lima orang lelaki dan 21 orang perempuan oleh Yang Berhormat Pehin.

Majlis itu diselenggarakan oleh Bahagian Perkembangan Sumber Tenaga Manusia dan Majlis Pelajaran Kebangsaan, Kementerian Pendidikan dengan tujuan untuk sama-sama memohon keberkatan dari Allah Subhanahu Wata’ala supaya semua bakal-bakal jemaah haji di negara ini mendapat syafa’at dan beroleh haji yang mabrur.

ARTIKEL YANG SAMA