Bakal haji perlu persiapan rapi

Bakal haji perlu persiapan rapi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Bakal jemaah haji perlukan persiapan rapi sama ada dalam ilmu pengetahuan, kesihatan dan bekalan perbelanjaan mencukupi untuk diri sendiri dan orang-orang di bawah tanggungan yang ditinggalkan.

Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini menekankan mengenai persiapan diri bakal haji dalam menunaikan Rukun Islam ke-5 itu, yang wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam berkemampuan yang sudah mencukupi syarat-syaratnya.

Menurut khatib lagi, bakal jemaah haji di negara ini sudah pun mengikuti kursus-kursus ibadah haji dan mempelajari rukun-rukun haji, wajib haji, perkara-perkara sunat dan segala adab serta perkara yang boleh membatalkan ibadah haji.

“Mudah-mudahan dengan ilmu yang dipelajari akan dapat dipraktikan sebaik-baiknya dan tidak terikut-ikut atau meniru-niru apa yang orang lain lakukan tanpa berpandukan ilmu dipelajari,” tambahnya.

Selain itu, bakal jemaah haji juga diseru memastikan mereka berada dalam kesihatan yang baik dengan mengamalkan cara hidup sihat, menjaga pemakanan, rehat mencukupi, mengikut arahan atau nasihat doktor perubatan dan sebagainya.

Kesihatan, menurut khatib, sangat penting bagi memastikan bakal-bakal haji dapat melaksanakan ibadah haji dan umrah dengan sempurna kerana sebahagian besar daripada ibadah-ibadah itu memerlukan tenaga yang banyak.

“Untuk mengerjakan ibadah haji bukanlah suatu perkara yang mudah dan memerlukan wang perbelanjaan yang mencukupi. Oleh itu, kita hendaklah mempunyai perancangan awal seperti membuat wang tabungan untuk melaksanakan ibadah haji.

Menurut khatib lagi, setiap musim haji, ibadah menyembelih binatang korban merupakan ibadah sunat yang sangat dituntut oleh agama Islam untuk menzahirkan rasa syukur atas nikmat rezeki yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T.

Ibadah korban ini, boleh dilaksanakan secara persendirian mahupun berkumpulan, samada di rumah-rumah, di masjid-masjid atau pejabat-pejabat.

“Sesungguhnya ibadah korban mendidik kita supaya bersifat pemurah dan dermawan kerana sebahagian besar dagingnya akan disedekahkan kepada fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan.

“Apa yang membanggakan, ada di antara kita berusaha menabung atau menyimpan wang sedikit demi sedikit dengan tujuan ingin melaksanakan ibadah korban tersebut.”

Memandangkan ibadah korban akan dilaksanakan pada 10 sehingga 13 Zulhijjah, masih ada kesempatan bagi mereka yang ingin melaksanakan korban samada cara persendirian atau berkumpulan.

“Ketahuilah bahawa Allah S.W.T akan memberikan ganjaran yang lebih baik bagi ibadah korban yang telah dilaksanakan oleh hamba-hambanya,” ujar khatib lagi.

ARTIKEL YANG SAMA