Bakal jadi hab perdagangan antara serantau Afrika

Bakal jadi hab perdagangan antara serantau Afrika

NAIROBI, 9 Ogos (Agensi) – Kenya dijangka menerima faedah daripada projek prasarana besar yang sedang dilaksanakan di seluruh negara dan dengan itu menjadi hab untuk perdagangan antara serantau di Afrika, menurut satu kajian baru oleh firma penyelidikan semalam.

Kajian oleh Frost & Sullivan berkata projek infrastruktur besar sedang dirancang untuk Afrika Timur dan dijangka mewujudkan peluang unik dan membuka pasaran baru di Kenya, Uganda dan Habsyah.

“Prasaran pengangkutan telah menjalani peningkatan besar dalam tempoh lima tahun lalu demi menyokong permintaan perdagangan yang tinggi di rantau Afrika Timur,” kata Pakar Runding Kanan Ekonomi Frost & Sullivan Craig Parker dalam kajian itu.

Kenya sedang melaksana beberapa projek prasarana termasuk pembinaan fasa pertama Landasan Kereta Api Tolok Piawai yang menghubungkan Mombasa dan Nairobi.

Projek itu dijangka membawa kepada masa penghantaran yang lebih singkat dan kos pengangkutan lebih rendah, sekali gus merangsang perniagaan serantau.

Negara Afrika Timur itu juga merupakan penerima utama projek prasarana yang dibiayai oleh China seperti lebuh raya, rangkaian kereta api dan pelabuhan.

Ekonomi terbesar Afrika Timur mempunyai hubungan rapat dengan China di mana faedahnya sedang dirasai di seluruh bidang sosio-ekonomi. Pelaburan China dalam sektor prasarana, pengeluaran dan perlombongan mempunyai kesan berlarutan di timur rantau Afrika.

Kajian itu, Penjejak Prasarana Afrika: Kenya, mendedahkan kira-kira 55.6 bilion dolar AS telah dirancang dalam pelaburan dalam pembangunan infrastruktur untuk Kenya, kebanyakannya akan menumpu pada telekomunikasi dan prasarana penghasilan tenaga elektrik.