Bakal jemaah haji PDB dirai

Bakal jemaah haji PDB dirai

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Ogos – Bagi mengambil berat tentang kebajikan anggota Polis yang akan menunaikan fardu haji, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah mengadakan Majlis Membaca Doa Selamat Bakal-bakal Jemaah Haji Pasukan Polis Diraja Brunei 1437H/2016M, bertempat di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, hari ini.

Empat orang anggota polis akan menunaikan fardu haji pada tahun ini iaitu Lans Koperal 4864 Mohd Firdaus bin Haji Mohd Zaini yang akan pergi bersama ibu bapanya; W/PC 5842 Nur Hasna binti Haji Suhaili yang akan pergi bersama ibunya; Koperal 3996 Muhd Azizul Khairul bin Abdullah Sada; dan APO Koperal 5423 Muhammad Nur Asyraf bin Abdullah Jugah bersama isterinya.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam berserta isteri, Datin Hajah Kamariah binti Haji Abdul Hamid.

Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy menyampaikan sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji Pasukan Polis Diraja Brunei.
Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy menyampaikan sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji Pasukan Polis Diraja Brunei.
Bakal-bakal jemaah haji Pasukan Polis Diraja Brunei yang diraikan pada majlis itu.
Bakal-bakal jemaah haji Pasukan Polis Diraja Brunei yang diraikan pada majlis itu.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, SAC Mohd Irwan bin Haji Hambali berserta isteri; para pengarah dan timbalan pengarah, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, ketua-ketua formasi, para pegawai polis dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei serta anggota polis yang akan menunaikan fardu Haji.

Majlis telah dimulakan dengan solat sunat Hajat berjemaah yang diimamkan oleh Imam Surau Pejabat Polis Gadong, APO Sarjan Mejar 6924 Pengiran Haji Ludin bin Pengiran Haji Mat Tahir.

Kemudian, Doa Selamat tdibacakan, dan diteruskan dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebelum penyampaian sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji Pasukan Polis Diraja Brunei, yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis seumpama ini bertujuan untuk mendoakan agar bakal-bakal jemaah haji Pasukan Polis Diraja Brunei memperoleh haji yang mabrur.

ARTIKEL YANG SAMA