Bakal jemaah haji perlu buat persediaan rapi

Bakal jemaah haji perlu buat persediaan rapi

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 2016 dinasihatkan supaya membuat persediaan menyeluruh sama ada dari segi mental dan rohani sebelum berangkat menunaikan ibadah haji dan umrah.

Ini adalah supaya pemergian mereka ke tanah suci itu benar-benar dapat menyucikan jiwa dan menguatkan akidah mereka, tekan Pemangku Pengarah Urusan Haji di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Abdul Rahman bin Matzin pada Majlis Taklimat Kesihatan bagi bakal jemaah haji negara yang berlangsung di Dewan Al’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau juga menasihatkan bakal jemaah supaya mengambil maklum dan memahami perbezaan keadaan dan iklim di Mekah, Madinah dan Arafah yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

Menurutnya, perkara ini perlu diambil perhatian kerana bakal jemaah haji di Tanah Suci nanti akan menggunakan banyak tenaga dalam melakukan peribadatan seperti menunaikan sembahyang lima waktu di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

Selain itu, mengerjakan ibadat umrah tawaf, saie dan melontar jamrah di samping melalui perjalanan yang mengambil masa lama dan jauh, di mana semua ini memerlukan tenaga yang banyak dan juga memerlukan ketabahan serta kesabaran, tambahnya.

Dr Haji Norzaidi menyampaikan taklimat bertajuk ‘Penjagaan Kesihatan dan Perkhidmatan Perubatan di Tanah Suci’.
Dr Haji Norzaidi menyampaikan taklimat bertajuk ‘Penjagaan Kesihatan dan Perkhidmatan Perubatan di Tanah Suci’.
Antara bakal jemaah haji yang menghadiri taklimat kesihatan haji.
Antara bakal jemaah haji yang menghadiri taklimat kesihatan haji.

Majlis berkenaan bertujuan untuk mempersiapkan bakal jemaah haji dari aspek kesihatan sebelum bertolak ke Tanah Suci dengan menerangkan peraturan yang ditetapkan dan panduan kesihatan yang perlu diambil perhatian oleh bakal jemaah haji sebelum bertolak, semasa berada di Tanah Suci hingga kembali ke tanah air.

Selain itu, bakal jemaah juga diterangkan proses dan prosedur perkhidmatan yang akan disediakan kepada mereka semasa di Tanah Suci nanti, di samping mengenai dasar dan peraturan kerajaan Arab Saudi yang perlu dipatuhi serta memberi kesempatan kepada mereka mendapatkan maklumat serta nasihat yang berkaitan dengan penyakit yang sering dihadapi di sana, permasalahan kesihatan semasa mengerjakan ibadat haji dan masalah kesihatan bagi jemaah wanita.

Pada taklimat itu, Pe-mangku Perubatan Kanan di Kementerian Kesihatan, Dr. Haji Norzaidi bin Mohd Saini selaku ketua rombongan Perubatan Maktab Urusan Haji Negara Brunei Darussalam bagi tahun 1437/2016 menyampaikan taklimat bertajuk ‘Penjagaan Kesihatan dan Perkhidmatan Perubatan di Tanah Suci’.

Pegawai Perubatan di Kementerian Kesihatan, Dr Herni Hardi binti Haji Awang Bidin pula menyampaikan taklimat bertajuk ‘Taklimat Kesihatan bagi Jemaah Haji Wanita’.

Pada tahun ini, Pegawai Perubatan Maktab Urusan Haji Negara Brunei Darussalam disertai oleh enam orang doktor dan 14 orang jururawat.

Taklimat kesihatan bagi bakal jemaah haji ini merupakan satu aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Urusan Haji dengan kerjasama Unit Perkhidmatan Perubatan Haji, Kementerian Kesihatan bagi bakal jemaah haji sebelum bertolak ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji.

Dengan adanya taklimat ini, bakal jemaah haji diharap dapat mengambil langkah awal untuk menjaga kesihatan dan mematuhi saranan dan nasihat supaya sentiasa dalam keadaan selesa dan sihat sejahtera dalam melaksanakan ibadat haji.

ARTIKEL YANG SAMA