Bakal jurutera diseru tingkatkan usaha

Bakal jurutera diseru tingkatkan usaha

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Para pelatih anggota Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) lepasan Kursus Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat Terbang dalam Jurusan Airframe & Engine dan Avionics, diseru terus berusaha dengan gigih dalam kerjaya mereka sebagai jurutera pesawat.

Dengan adanya pesawat baru dalam Angkatan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), diharap bakal-bakal jurutera akan terus berusaha untuk menimba ilmu pengetahuan teknikal dan pengalaman dalam usaha ke arah meningkatkan serta mengekalkan piawaian dan keselamatan pemeliharaan pesawat di tahap yang tinggi supaya ketahanan dan kebolehpercayaan TUDB dalam menjalankan operasi dapat dicapai.

Hasrat itu disuarakan oleh Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Kolonel (U) Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Tamat Kursus Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat Terbang dalam Jurusan Airframe & Engine dan Avionics Pengambilan Ke-2 bagi 2013-2015 yang berlangsung di Dewan Punai, Pangkalan Udara Rimba, Tentera Udara Diraja Brunei.

Di majlis itu, Kolonel (U) Shahril Anwar menyatakan bahawa ilmu pengetahuan dalam bidang kejuruteraan itu bukan hanya dapat diperoleh dengan mengharap atau menunggu adanya kursus di dalam mahupun luar negeri tetapi ia boleh didapati melalui pembacaan, perkongsian pengalaman serta penglibatan diri dalam apa jua tugas yang berkaitan dengan penyelenggaraan.

“Dengan adanya ilmu pengetahuan tersebut diharap akan dapat membuka minda bakal-bakal jurutera agar peka mengenai arus kemajuan, dan secara tidak langsung membantu dalam menghadapi cabaran-cabaran yang timbul daripada kemajuan tersebut.”

Kolonel (U) Shahril Anwar menyampaikan ucapan di majlis itu.
Kolonel (U) Shahril Anwar menyampaikan ucapan di majlis itu.
Kolonel (U) Shahril Anwar menyampaikan hadiah pelatih terbaik dalam bidang Airframe & Engine kepada Sld (U) Muhammad Zahiruddin.
Kolonel (U) Shahril Anwar menyampaikan hadiah pelatih terbaik dalam bidang Airframe & Engine kepada Sld (U) Muhammad Zahiruddin.
Kolonel (U) Shahril Anwar bergambar ramai dengan para pelatih kursus yang diraikan di majlis berkenaan.
Kolonel (U) Shahril Anwar bergambar ramai dengan para pelatih kursus yang diraikan di majlis berkenaan.
Di antara ahli keluarga para pelatih yang diraikan yang menghadiri majlis itu.
Di antara ahli keluarga para pelatih yang diraikan yang menghadiri majlis itu.

Beliau berkata perkara itu adalah selaras dengan penyata yang telah dikeluarkan dalam arahan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) 2014-2015 yang mengkehendaki semua unit ABDB untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran anggota selari dengan pembekalan dan penggunaan peralatan ketenteraan yang baru.

Di samping profesionalisme, beliau juga menyeru para anggota untuk sentiasa mengekalkan dan meningkatkan kerohanian dalam diri, ketahanan jasmani dan disiplin sepanjang perkhidmatan di dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Di majlis itu, Kolonel (U) Shahril Anwar menyempurnakan penyampaian sijil kepada seramai 24 orang pelatih yang berjaya menamatkan kursus iaitu terdiri daripada 8 orang anggota TUDBi dan 16 orang anggota awam.

Pada majlis itu juga, Kolonel (U) Shahril Anwar turut menyampaikan hadiah penuntut terbaik kepada pelatih terbaik dalam bidang Airframe & Engine, Sld (U) Muhammad Zahiruddin bin Abidin dan dalam bidang Avionics, Sld (U) Muhd Nazirul Hanif bin Haji Mat Yamin.

Kursus selama 2 tahun dan 3 bulan itu merupakan latihan asas kejuruteraan pesawat yang dikendalikan bersama di antara Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal dan No.75 Skuadron, Tentera Udara Diraja Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA