Bakal ketua PBB mahu bina hubungan

Bakal ketua PBB mahu bina hubungan

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 6 Okt – Bekas perdana menteri Portugal, Antonio Guterres, (gambar) yang kelihatannya sudah pasti akan menjadi setiausaha agung PBB akan datang, berkata dia ingin menjadi ‘seorang broker jujur, penyambung hubungan dan seseorang yang cuba untuk melahirkan suasana kesepakatan’.

Ahli politik veteran dan diplomat itu, yang memenangi sokongan sebulat suara dari Majlis Keselamatan PBB kelmarin, berkata dalam satu temu bual bersama agensi AP dan dua organisasi berita lain semasa kempennya bahawa jika dia mendapat jawatan tersebut, dia berhasrat untuk bekerja dengan semua negara-negara untuk membantu menyelesaikan masalah menimbun berhubung agenda global.

Majlis Keselamatan dijadualkan akan bertemu secara tertutup pada pagi hari ini bagi undian formal ke atas pencalonan Guterres. Duta PBB Rusia, Vitaly Churkin, presiden majlis pada masa ini, menyatakan harapan yang majlis akan merekomenkan Guterres dengan ‘sebulat suara’ kepada 192 anggota Perhimpunan Agung, yang perlu meluluskan pengganti kepada Ban Ki-moon, yang penggal lima tahun keduanya akan berakhir 31 Disember ini.

Guterres berada di tempat teratas bagi kesemua enam undian tidak formal dalam majlis selepas menerima markah tinggi daripada hampir kesemua diplomat bagi prestasinya dalam semua sesi soal jawab pertama kali bagi calon-calon dalam Perhimpunan Agung.

Hanya beliau sahaja calon daripada 10 dalam pertandingan itu yang tiada mendapat undian ‘tidak menggalakkan’ dalam pilihan raya kelmarin, yang pertama kalinya menggunakan pembuangan undian berwarna untuk membezakan undian daripada lima anggota tetap – AS, Rusia, China, Britain dan Perancis. – AP