Bakal pembeli AC Milan didakwa beri dokumen palsu

Bakal pembeli AC Milan didakwa beri dokumen palsu

MILAN, 22 Sept – Sebuah konsortium dari China yang bersedia untuk membeli AC Milan didakwa memberikan dokumen palsu ketika perundingan awam bersama gergasi Serie A itu, menurut laporan semalam.

Sino-Europe Sports Investment Management Changxing Co, yang diketuai oleh ahli perniagaan, Li Yonghong, sudah membuat pembayaran 100 juta euro kepada Fininvest, syarikat utama pemilik AC Milan dan presiden Silvio Berlusconi, yang dijangka akan menandatangani persetujuan bernilai 740 juta pada akhir tahun ini.

Tetapi laporan dari laman sesawang berita kewangan Bloomberg, yang memetik kenyataan daripada pemberi pinjaman China yang namanya muncul dalam dokumen itu, mendakwa bahawa dokumen palsu digunakan dalam perundingan awal tersebut.

Laporan itu mendakwa Sino-Europe Sports memberikan dokumen mengenai “apa yang dilihat adalah surat rasmi Bank of Jiangsu Co., bermaksud untuk menunjukkan butiran mengenai transaksi bagi akaun korporat ahli konsortium.” Ia menambah “selepas mengkaji perkara itu, Bank of Jiangsu mendapati ia tidak mengeluarkan sebarang dokumen yang menyatakan transaksi akaun.”

Dalam kenyataan kepada AFP semalam, Fininvest berkata ia “tidak mengesahkan” bahawa ia menerima dokumen yang dipertikaikan, yang menambah: “Dan kami tidak berhasrat untuk mengulas mengenai perkara itu.” – AFP