Bakar suar di...

Bakar suar di final Piala AFF, FAT didenda AS$30,000

BANGKOK, 5 Jan – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenakan denda AS$30,000 (RM135,000) kepada Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) atas perbuatan penyokong mereka sewaktu perlawanan akhir kedua Piala AFF bulan lepas.

Dalam insiden di Stadium Rajamangala, di sini, penyokong tuan rumah membakar suar untuk meraikan kejayaan pasukan mereka menundukkan Indonesia dalam aksi final kedua yang membolehkan mereka muncul juara buat kali kelima.

“Kami telah diberi amaran akan dikenakan hukuman lebih berat jika penyokong membakar lagi suar dalam perlawanan antarabangsa. Hukuman itu adalah lebih berat dan bukan setakat denda sahaja,” kata jurucakap FAT, Pathit Supapong dalam kenyataan hari ini.

Kelompok penyokong Thai yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Ultras’ dipersalahkan dalam insiden memalukan itu, dan polis berjanji akan memburu pihak yang terlibat dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada penyokong yang ditahan.

Dalam final yang diadakan secara timbal balik di Bogor dan Bangkok itu, skuad Gajah Perang bangkit daripada kekalahan 1-2 di tangan pasukan Garuda sewaktu final pertama, untuk menang 2-0 pada aksi kedua di Stadium Rajamangala.

Skuad bimbingan Kiatisuk Senamuang itu menewaskan Indonesia 3-2 menerusi agregat untuk menjadi pasukan pertama menjulang Piala Suzuki sebanyak lima kali. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA