Bakat kerja anak tempatan diiktiraf

Bakat kerja anak tempatan diiktiraf

Oleh Sim Y. H.

 

pg08_160112_dBANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Microsoft Brunei mencatatkan satu mercu tanda penting dalam pembangunan sumber tenaga kerja tempatannya, apabila mengumumkan bahawa Awang Danial Azizan Abdullah Henry (gambar) dilantik sebagai Ketua Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi anak syarikat berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Microsoft Brunei, Awang Danial juga merupakan kakitangan tempatan pertama yang diambil bekerja sepenuh masa oleh anak syarikat berkenaan di mana Microsoft terus melabur ke dalam negara serta memperkasa perusahaan tempatan supaya mereka mampu memanfaatkan sepenuhnya teknologi mudah alih Cloud dunia.

Menurut kenyataan itu lagi, bermula 11 Januari, Awang Danial diamanahkan untuk menumpukan kepada usaha mempercepatkan pertumbuhan perisian Cloud Microsoft bagi kegunaan PKS Brunei.

Microsoft terus memberikan sokongan kepada pelbagai inisiatif bagi memudahkan pertumbuhan pasaran baru di Asia dan sebahagian daripada usaha itu adalah untuk membangunkan bakat tempatan supaya mereka boleh menyertai tenaga kerja Microsoft yang berbilang bangsa dan global.

Sebelum dilantik dalam jawatannya pada masa ini, Awang Danial diambil bekerja secara berkontrak sebagai ketua pendidikan bagi Microsoft Brunei di mana beliau diamanahkan untuk menumpukan kepada melatih dan membangunkan kemahiran para guru supaya mereka mampu memanfaatkan serta menggunakan teknologi dalam pengajaran mereka supaya dapat menjana kaedah belajar dan mengajar yang baru.

Pengurus Negara Microsoft Brunei, Dayang Haniza Zakaria dipetik menyatakan bahawa pelantikan Awang Danial merupakan salah satu contoh terbaik mengenai komitmen Microsoft untuk membangunkan bakat-bakat tempatan di Brunei.

Beliau menambah bahawa menjadi misi global bagi Microsoft untuk terus komited membantu perkembangan Brunei dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Dalam hubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan terus menyediakan pengusaha tempatan dengan penyelesaian atau perisian terbaik supaya mereka dapat memodenkan infrastruktur perniagaan mereka serta menjadikan tenaga kerja mereka lebih produktif dan bersepadu.

Teknologi boleh memainkan peranan yang penting terutama dalam memberikan peluang kepada pasaran membangun seperti Brunei untuk melonjak ke pentas serantau dan global di mana organisasi di seluruh dunia bergerak maju ke arah transformasi digital mereka.

ARTIKEL YANG SAMA