Bakat, minat boleh lahirkan pemain hebat

Bakat, minat boleh lahirkan pemain hebat

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) – Bakat serta minat mendalam terhadap bola sepak telah membentuk pemain pertahanan Liverpool, Kolo Toure, sehingga menjadi antara bintang pujaan ramai dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Bakat sahaja tidak akan membawa anda ke mercu kejayaan. Anda juga perlu mempunyai kecintaan mendalam terhadap sukan ini.

“Sekiranya anda memiliki bakat, itu suatu anugerah sangat berharga. Tetapi, berdasarkan pengalaman, saya dapati bahawa kecintaan mendalam terhadap sukan ini menjadi penggerak utama ke arah kejayaan,” katanya apabila ditanya tentang petua untuk menjadi seorang bintang bola sepak terkemuka.

Toure, 34, berkata demikian selepas perlawanan persahabatan antara pasukan Pilihan Malaysia dan Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam tadi.

Bekas pemain Manchester City dan Arsenal itu, yang menganggotai skuad ‘halimunan’ The Gunners bagi musim 2003/04, bagaimanapun tidak diturunkan dalam aksi menentang Pilihan Malaysia, oleh pengurus Liverpool, Brendan Rodgers, kelmarin.

Kolo Toure berlatih bersama skuad Liverpool pada 23 Julai lalu sebelum menentang Pilihan Malaysia di Kuala Lumpur. - Reuters
Kolo Toure berlatih bersama skuad Liverpool pada 23 Julai lalu sebelum menentang Pilihan Malaysia di Kuala Lumpur. – Reuters

Pemain antarabangsa Ivory Coast itu juga memuji persembahan Malaysia ketika menentang pasukannya di hadapan kira-kira 45,000 penonton malam tadi, yang sebahagian besarnya adalah peminat tegar Liverpool.

“Pasukan Malaysia mempamerkan persembahan sangat baik…ada beberapa pemain hebat di bahagian serangan dan pertahanan. Tetapi, perkara paling penting ialah keadaan pasukan itu sendiri, mereka berganding bahu kerana mereka tahu kami memiliki kualiti lebih tinggi, tetapi apabila mereka berpadu tenaga dan membina benteng secara bersama, pergerakan kami menjadi lebih sukar.

ARTIKEL YANG SAMA