Bakat seni kreatif 40 pelajar dipamerkan

Bakat seni kreatif 40 pelajar dipamerkan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Artis atau karyawan seni tempatan termasuk artis muda negara tidak kurang berbakat jika dibandingkan dengan artis-artis luar negara, dan bakat berkenaan dapat disaksikan sendiri dalam Pameran Seni dan Rekaan, Spectacle 2016 yang berlangsung di Galeri Seni, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Pameran itu mengetengahkan hasil karya seramai 40 orang pelajar tahun akhir daripada kumpulan ketiga UBD dalam Program Seni dan Teknologi Kreatif di mana ia bukan sahaja menonjolkan bakat-bakat kreatif para pelajar tetapi juga sebagai usaha menyahut seruan negara untuk memajukan dan mengembangkan lagi industri kreatif Brunei.

Pameran yang bermula hari ini hingga 21 Mei itu dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global) UBD, Dr Joyce Teo Siew Yean, di mana pameran itu dibukakan kepada orang ramai bermula 9 pagi hingga 7 malam pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

Pengarah Bersama Jawatankuasa Pameran Spectacle 2016, Dayangku Fatin Afifah binti Pengiran Haji Mohd Tahir menyatakan kepada Media Permata bahawa pameran itu bukan sahaja memaparkan dan mendedahkan bakat para pelajar berkenaan malahan turut mengetengahkan pelbagai topik dan isu yang lebih meluas dengan setiap karya membawa makna berbeza dan menarik terutama dari segi kaedah ia dikelolakan oleh para artis itu sendiri.

Antara salah satu rekaan kreatif seorang pelajar yang mempunyai maksud tersendiri.
Antara salah satu rekaan kreatif seorang pelajar yang mempunyai maksud tersendiri.
Salah satu rekaan kreatif yang mempamerkan idea, karya seni para pelajar.
Salah satu rekaan kreatif yang mempamerkan idea, karya seni para pelajar.
Karya-karya seni para pelajar tahun akhir program Seni dan Teknologi Kreatif UBD mendapat sambutan daripara pengunjung.
Karya-karya seni para pelajar tahun akhir program Seni dan Teknologi Kreatif UBD mendapat sambutan daripara pengunjung.
Dr Joyce Teo ketika mendengar penerangan mengenai karya yang dipamerkan oleh para pelajar semasa Pameran Spectacle 2016.
Dr Joyce Teo ketika mendengar penerangan mengenai karya yang dipamerkan oleh para pelajar semasa Pameran Spectacle 2016.

Beliau juga menyatakan bahawa setiap karya mempunyai nilai seni dan ertinya tersendiri dengan mengetengahkan tema-tema yang berbeza termasuk seni tradisional, rekaan kontemporari, nilai-nilai etika, isu-isu sosial, identiti diri, pertumbuhan diri, khazanah budaya, pemuliharaan alam sekitar, keindahan estetika dan keusahawanan seni.

Menurutnya lagi, seni kontemporari dan tradisional seperti lukisan dan arca atau seni digital seperti rekaan grafik tidak kurangnya memainkan peranan penting dalam kehidupan kita.

Ia merupakan satu bentuk penghargaan dan penghormatan bagi budaya, kehidupan dan alam persekitaran di sekeliling.

Pameran itu, bukan sahaja dihasratkan untuk mempamerkan idea, karya seni para pelajar tetapi ia juga merupakan salah satu kaedah dalam menggunakan seni untuk membawa para pengunjung mencapai kesedaran dan kefahaman terhadap diri mereka sendiri.

pg12_160414_f

pg12_160414_g

pg12_160414_h

Selain daripada pameran seni itu, sesi ceramah galeri juga akan diadakan sebanyak empat sesi iaitu pada 16, 19, 23 dan 26 April bermula pukul 2 petang hingga 4:30 petang di mana ia memberikan peluang kepada para pengunjung untuk berinteraksi sendiri dengan para artis dan karyawan muda berkenaan untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai karya-karya mereka itu.

Semasa sesi ceramah galeri itu, para pelajar akan memberikan penerangan mengenai idea, inspirasi dan perkembangan karya seni mereka.

Pada masa yang sama, mana-mana sekolah atau organisasi yang berminat, mereka juga boleh mendapatkan khidmat lawatan dan panduan secara percuma dengan membuat temu janji.

Semasa pameran itu juga, para pengunjung akan berpeluang untuk memenangi kupon makanan dan baucar Coffee Bean & Tea Leaf serta mendapatkan baju kemeja-T khas, Spectacle. Maklumat lanjut mengenai jualan dan pelbagai acara menarik itu akan dikemaskinikan melalui laman media sosial UBD Spectacle 2016 di Facebook atau Instagram, @ubdspectacle2016.

ARTIKEL YANG SAMA