Bake Culture terima pengiktirafan halal

Bake Culture terima pengiktirafan halal

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Kedai roti Bake Culture, baru-baru ini, telah mendapat pengiktirafan sijil halal setelah menjalani pemeriksaan ketat selama dua bulan.

Pengiktirafan sijil halal itu, setentunya memastikan bahawa ia menghasilkan produk halal dan berkualiti yang mematuhi piawaian tinggi dalam pembuatan makanan, pengendalian dan standard keselamatan kebersihan.

“Sebelum ini kita telah mendengar bahawa mendapatkan persijilan halal adalah satu proses panjang yang boleh mencapai lebih satu tahun, jadi kami sangat terkejut dan gembira apabila dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa kami telah lulus dalam masa kurang dari dua bulan sahaja sejak kita mengemukakan permohonan itu,” kata Ketua Projek Halal Bake Culture, Dayangku Siti Nor Mazzidah binti Pengiran Mat Yussof.

“Ia adalah atas usaha pasukan hebat yang kita lalui bersama, ia juga tidak akan dapat dicapai tanpa bimbingan pihak berkuasa Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) yang sangat bersabar dengan kami sepanjang proses pemeriksaan dijalankan,” tambah beliau.

Pengarah Urusan bersama warga kerja Bake Culture bergambar ramai sambil mempamerkan pengiktirafan sijil halal.
Pengarah Urusan bersama warga kerja Bake Culture bergambar ramai sambil mempamerkan pengiktirafan sijil halal.

Manakala itu, Pengarah Urusan Bake Culture, Wu Chun pula berkata, “walaupun terdapat bahan-bahan halal di pasaran Brunei untuk memberi kemudahan kepada kami, namun kami tetap ingin mengimport bahan-bahan premium kerana pelanggan kami berhak menerima hanya yang terbaik.

“Selain jaminan halal untuk pelanggan beragama Islam, ia juga meyakinkan pelanggan bukan Islam akan perhatian terhadap kualiti dan kebersihan makanan kami,” ujarnya lagi.

Pengesahan Halal Bake Culture merupakan peringkat penting kerana syarikat tersebut berhasrat untuk menembusi pasaran luar negara dalam masa terdekat.

Ciptaan menu tempatan Bake Culture Brunei iaitu ‘Roti Sate’ dan ‘Roti Pusu’ mendapat perhatian program televisyen yang popular di Taiwan iaitu ‘Super Taste’ di mana kru program TV itu datang ke Bake Culture untuk mencuba produk berkenaan, baru-baru ini.

ARTIKEL YANG SAMA