Bake Culture undang cef terkemuka

Bake Culture undang cef terkemuka

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Sempena Pesta Pengguna ke-18 yang akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dari 25 hingga 29 Mei ini, Bake Culture dengan kerjasama D’Sunlit Sdn Bhd akan memperkenalkan kelas membuat roti dan demonstrasi di pesta itu nanti.

Bake Culture dalam kenyataannya menyatakan, mereka mempunyai misi untuk memberikan keseronokan kepada pelanggan dan menikmati roti-roti dari seluruh dunia pada harga berpatutan.

Dengan ini, Bake Culture menjemput Chien Hsiao Chia yang merupakan penerima anugerah pembuat roti 2012 (juara pertandingan American Cheese Bread) dan mempunyai 15 tahun pengalaman dalam pembuatan roti, untuk berkongsi kemahiran dan teknik membuat roti dengan orang Brunei pada pesta itu nanti.

Cef dari Taiwan juga dijemput untuk menjalankan demonstrasi membuat roti untuk orang ramai mempelajarinya.

Pendaftaran bagi kelas membuat roti oleh Chien Hsiao Chia kini dibuka dan borang boleh diperolehi dan dihantar di Pejabat D’Sunlit atau Bake Culture, di samping itu, pendaftaran juga boleh dibuat secara online dengan melayari laman sesawang www.bruneiconsumerfair.com.

Yuran pendaftaran adalah sebanyak $55 dan mereka yang mendaftar awal akan diberikan potongan harga 18 peratus kepada hanya $45 sebelum 14 Mei ini.

Pesta Pengguna adalah sebagai platform bagi peniaga kecil dan sederhana untuk mempromosi dan mempamerkan produk-produk dan perkhidmatan mereka kepada pasaran tempatan. Selain aktiviti pentas, pelbagai permainan yang berkaitan dengan makanan juga akan diadakan.

Lebih banyak promosi akan diumumkan semasa Pesta Pengguna ke-18 diadakan.

ARTIKEL YANG SAMA