Bakes FT catat kemenangan pertama

Bakes FT catat kemenangan pertama

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Bakes FT mencatat kemenangan sulungnya dalam Kumpulan C Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara apabila menang 3-2 ke atas Bebuloh FC di Kompleks Sukan Sungai Kebun.

Kemenangan itu membuka semula peluang tipis kemaraan Bakes FT ke pusingan kedua kejohanan, asalkan mereka menang besar di perlawanan terakhirnya dan pada masa yang sama mengharapkan empat pencabarnya yang lain dalam Kumpulan C tewas besar.

Bakes FT yang sebelum ini tewas ketiga-tiga perlawanannya, kini menduduki tempat kelima Kumpulan C dengan tiga mata, di belakang Bebuloh FC yang juga baru mengumpul tiga mata dari empat permainan hasil dari satu menang dan tiga kalah. Kilugos FC di tempat keenam juga mengumpul tiga mata tetapi dari tiga permainan.

Dengan tempat teratas Kumpulan C sudah sah menjadi milik DSP United FC yang mengumpul mata maksimum, 15 mata setelah mengalahkan semua lima pasukan lain sekumpulannya, maka hanya kedudukan naib juara kumpulan menjadi rebutan di antara lima pasukan: AKSE Bersatu, Plan Batu FC, Bebuloh FC, Bakes FT dan Kilugus FC.

AKSE Bersatu dan Plan Batu FC kini masing-masing di tangga kedua dan ketiga kumpulan dengan sama-sama mengumpul enam mata dari empat permainan, cuma perbezaan gol membezakan antara keduanya dengan AKSE Bersatu memiliki +4 dari 12 jaringan dan lapan bolos manakala Plan Batu FC mempunyai -2 dari enam jaringan dan lapan bolos.

Bakes FT akhirnya mencatat kemenangan pertamanya dalam Kumpulan C Liga Daerah BM.
Bakes FT akhirnya mencatat kemenangan pertamanya dalam Kumpulan C Liga Daerah BM.

Sementara tiga pasukan terbawah juga dibezakan oleh perbezaan gol dengan Bebuloh FC memiliki -5 dari 11 jaringan dan 16 bolos, Bakes FT dengan -8 dari 5 jaringan dan 13 bolos, dan Kilugos FC dengan -12 dari 2 jaringan dan 14 bolos.

Kejohanan akan diteruskan lagi pada 24 Januari ini dengan Savilla FC lawan Rainbow FC dalam Kumpulan B. Savilla FC (7 mata dari 4 permainan) pasti layak ke pusingan kedua selaku naib juara kumpulan jika menang walaupun sekadar 1-0, memintas Seri Bolkiah yang kini menghuni tangga kedua dengan 10 mata (dari 5 permainan).

Jika menang, Savilla FC akan turut mengumpul 10 mata, tetapi akan layak dengan kelebihan perbezaan jaringan kerana pada ketika ini kedua-dua pasukan, Seri Bolkiah (14 jaringan & 12 bolos) dan Savilla FC (11 jaringan & dua bolos), sama-sama memiliki perbezaan gol +2.

Slot juara Kumpulan B sudah pasti menjadi milik Al-Idrus Junior yang sudah menamatkan kempen peringkat kumpulannya dengan pungutan mata maksimum, 15 mata dari lima permainan.

ARTIKEL YANG SAMA