Bakti sumbang RM50,000 bantu pelajar kurang berkemampuan di UNIMAS

Bakti sumbang RM50,000 bantu pelajar kurang berkemampuan di UNIMAS

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) hari ini menyerahkan sumbangan Geran Derma Pelajar Universiti Bakti bernilai RM50,000 kepada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Sumbangan disampaikan dalam bentuk cek oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Yang Dipertua Bakti kepada Naib Canselor Unimas Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Geran derma itu bertujuan membantu pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan agar mereka dapat mencapai taraf pembelajaran yang lebih baik dan memperoleh keputusan cemerlang.

Mohamad berkata sumbangan berkenaan akan diberikan kepada pelajar yang memerlukan bantuan kewangan khususnya yang datang dari kawasan pedalaman dan luar Bandar.

Datin Seri Rosmah Mansor (dua, kanan) selaku Yang Dipertua Bakti menyerahkan sumbangan geran derma pelajar universiti kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bernilai RM50,000 kepada Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi pada majlis penyerahan sumbangan tersebut di Bangunan Bakti kelmarin. – Bernama

“Kita (Unimas) amat bersyukur kerana telah dipilih oleh Bakti untuk menerima sumbangan ini. Kita akan guna sumbangan sebaik mungkin untuk membantu pelajar dan jumlah bantuan yang diberi akan mengikut keperluan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan itu di Bangunan Bakti Siti Hasmah, di sini.

Geran derma itu merupakan kali kedua diberikan kepada Unimas yang mana pada tahun 2000, Bakti turut menyumbang sebanyak RM50,000 kepada universiti itu.

Selain Unimas, beberapa universiti lain juga menerima sumbangan daripada Bakti sejak 2006 hingga kini antaranya Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya yang masing-masing menerima RM20,000 manakala Universiti Pendidikan Sultan Idris mendapat sumbangan RM10,000. – Bernama