Balai bomba baru akan dibina

Balai bomba baru akan dibina

BINTULU, 15 Jun (Bernama) – Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju terletak dekat Kawasan Perindustrian Samalaju Industrial (SIP), enjin pertumbuhan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), akan bermula pada Nov 2015.

Anggota Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memberitahu beliau secara bertulis bahawa tender untuk pembinaannya akan dikeluarkan bulan depan.

SIP yang terletak 62 km dari bandar Bintulu merupakan pusat pertumbuhan SCORE bagi industri berat dan tenaga yang menarik pelaburan berjumlah lebih RM20 bilion setakat ini.

“Daerah Sebauh juga akan mempunyai sebuah balai bomba dan penyelamat yang dirancang dibina pada 2018,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tiong berkata kementerian telah memberi jaminan bahawa jumlah anggota bomba dan penyelamat di Bintulu akan ditambah apabila kedua-dua balai bomba itu beroperasi.