Balai bomba RM5.5 juta dibina di Daro tahun depan

Balai bomba RM5.5 juta dibina di Daro tahun depan

SIBU, 9 Okt (Bernama) – Sebuah balai bomba dan penyelamat akan dibina di Daro dengan kos RM5.5 juta tahun depan bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk di daerah itu dan kawasan sekitar.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata tender bagi projek pembinaan balai bomba tersebut dijangka dibuka hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Menurutnya, balai bomba kelas D itu yang dibina di atas tapak seluas 1.34 hektar dilengkapi pelbagai kemudahan kebombaan dan pentadbiran termasuk kuarters kediaman.

“Balai bomba ini akan diketuai seorang ketua balai dengan kekuatan tiga penyelia, tujuh anggota bomba biasa dan 21 anggota bomba bantuan serta sebuah jentera,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Selama ini penduduk Daro dan Matu serta kawasan sekitarnya yang terlibat dalam kejadian kebakaran terpaksa menunggu bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah yang memakan masa perjalanan kira-kira dua jam setengah.

Terbaru kejadian kebakaran Klinik Kesihatan Daro pada awal pagi Rabu lepas, yang ditempatkan di dalam bangunan kayu berusia lebih 20 tahun, musnah dalam kebakaran itu.

Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Daro Dr Murni Suhaili berkata beliau difahamkan kontraktor yang berminat untuk membina balai bomba itu telah membuat tinjauan ke tapak projek beberapa bulan lalu.

“Saya berharap pembinaan balai bomba ini nanti dapat dipercepatkan demi menjaga keselamatan dan harta benda rakyat terutama semasa berlaku kejadian kebakaran di samping memberi lain-lain khidmat kebombaan dan penyelamat,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan penduduk Daro tidak membuat penyambungan talian elektrik sesuka hati di kediaman masing-masing tanpa kelulusan daripada pihak berkenaan untuk mengelakkan litar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran.

ARTIKEL YANG SAMA