Bale idam jumpa Kroos

Bale idam jumpa Kroos

DINARD, 5 Jun – Gareth Bale mula mengimbau ejekan rakan sepasukan kelab menjelang pertemuan separuh akhir antara Wales dan Portugal awal pagi Khamis ini.

Bale menyaksikan lima kejohanan besar berlalu sepanjang 10 tahun pertama kariernya, tetapi dengan Wales berjaya menamatkan penantian 58 tahun di pentas antarabangsa, pemain 26 tahun itu bersedia menebus kembali masa yang disia-siakan itu.

Skuad kendalian Chris Coleman mencipta kejutan apabila mara ke kelompok empat terakhir di Perancis dan ia memberikan Bale sebab untuk mengimbau semula ejekan rakan sepasukan kelab ke atas dirinya.

“Saya sering diejek sepanjang tempoh itu,” kata penyerang Real Madrid itu. “Ketika itu kami selalu tewas dan berada di tangga ke-100 dunia. Anda mempunyai cuti sembilan minggu berbanding dua.

“Memang bagus akhirnya dapat berada dalam kejohanan besar, sebenarnya dapat melakukan perkara yang hebat bersama pasukan kebangsaan. Saya gembira menjadi sebahagian daripadanya.”

Bale berharap dapat membawa Wales ke final Euro 2016 dan bertemu Toni Kroos. - AFP
Bale berharap dapat membawa Wales ke final Euro 2016 dan bertemu Toni Kroos. – AFP

Sekiranya Bale mara ke final, dia mungkin akan berdepan pemain tengah Jerman, Toni Kroos, rakan sepasukan di Madrid yang memandang rendah kemampuan Wales sebelum kejohanan bermula.

“Saya masih ingat Toni Kross berkata yang kami hanya mempunyai tiga perlawanan. Jadi alangkah bagus dapat berjumpanya di final,” kata Bale.

“Ia memang kelakar dan senda gurau antara kami. Tetapi kami melepasi jangkaan ramai orang. Kami memahaminya dan sedang menikmatinya sekarang.” – AFP