Bale kian matang

Bale kian matang

BARCELONA, 31 Mac (Reuters) – Gareth Bale mengakui dia mendapat pengajaran berharga daripada kempen mengecewakan bersama Real Madrid musim lalu.

Penyerang Wales itu menikmati impiannya pada musim pertama di Bernabeu selepas mencatat rekod perpindahan dunia AS$122.67 juta dari Tottenham Hotspur pada 2013, menjaringkan gol pada final Liga Juara-Juara dan Piala Raja Sepanyol ketika Real meraih kejayaan berganda.

Bagaimanapun, Bale bergelut untuk musim kedua yang sukar, mencetuskan kritikan daripada media dan peminat dengan kelabnya gagal untuk memenangi trofi utama dan spekulasi menyatakan dia memohon untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris semakin memuncak.

“Mungkin musim lalu saya tidak bermain dengan potensi yang saya ada,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan ‘Clasico’ berdepan pendahulu La Liga, Barcelona, awal pagi Ahad ini.

Gareth Bale semasa menghadiri sidang media di Kompleks Sukan Real Madrid City di Madrid kelmarin. – AFP
Gareth Bale semasa menghadiri sidang media di Kompleks Sukan Real Madrid City di Madrid kelmarin. – AFP

“Musim ini saya mahu memperbaikinya. Ia adalah penting bagi saya untuk terus bekerja keras, terus berjuang, ia perkara sukar apabila bermain di negara asing.

“Saya fikir semuanya (masalah) sudah diselesaikan, saya kerap berada dalam pasukan tahun ini dan saya fikir ia sudah dibuktikan dalam persembahan di atas padang.

“Ia adalah baik untuk mengalami musim yang tidak baik, anda benar-benar akan belajar banyak perkara mengenai diri anda,” kata Bale.

“Saya banyak memahami berkenaan cara permainan di sini dan berharap akan belajar lebih banyak lagi pada masa hadapan yang akan datang.”